Produktiviti Malaysia meningkat 1.8 peratus

KUALA LUMPUR, 21 JUN – Pertumbuhan produktiviti Malaysia meningkat semula kepada 1.8 peratus atau RM90,697 seorang pada 2021 daripada -5.3 peratus atau RM89,106 seorang pada 2020, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong kelmarin.

Beliau berkata, tahun 2021 telah menunjukkan kebangkitan yang luar biasa daripada impak kelembapan ekonomi yang dialami daripada kesan pandemik walaupun Malaysia masih belum kembali kepada prestasi produktiviti sebelum pandemik melanda.

Sementara itu, pertumbuhan keseluruhan subsektor di bawah sembilan Nexus Sektor Produktiviti melantun kepada purata 3.3 peratus pada 2021 daripada -5.1 peratus pada 2020, katanya.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa subsektor kimia dan produk kimia serta mesin dan peralatan telah mencatatkan peningkatan besar dalam pertumbuhan produktiviti, masing-masing dengan 10.3 peratus dan 9.0 peratus.

Lim berkata, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada 6.1 peratus tahun ini berdasarkan kepada jangkaan jualan barangan elektrik dan peralatan kesihatan, meningkatkan eksport Malaysia dan permintaan domestik yang didorong oleh faedah yang diperoleh daripada sokongan kerajaan.

Lim juga berkata keperluan untuk merealisasikan potensi ekonomi industri melalui transformasi digital adalah penting bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing Malaysia.

Justeru, pelbagai inisiatif disediakan untuk memanfaatkan teknologi digital seperti tanda pengenalan MPC Go BIG with Digital yang menyokong keperluan untuk transformasi minda dalam kalangan pemimpin. – Bernama

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong menekankan bahawa transformasi digital dapat meningkatkan produktiviti Malaysia. – Bernama