Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Profesionalisme ABDB berkembang

    Oleh Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang mula ditubuhkan pada 31 Mei 1961 telah mencapai banyak perkembangan dan pembangunan yang telah dikecap pada masa ini sama ada dari aspek fizikal malahan juga dalam perkembangan tenaga manusia.

    “Kita melihat tahap profesionalisme warga ABDB yang amat tinggi khususnya mereka telah diberikan peluang bukan sahaja untuk berkhidmat di dalam negara malahan juga di luar negara.”

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berpendapat lagi, tahap profesionalisme ABDB semakin meningkat dari setahun ke setahun kerana mereka bukan sahaja telah didedahkan dalam ABDB sendiri tetapi juga di peringkat antarabangsa.

    Yang Berhormat Dato berkata, salah satu perkembangan yang dapat dilihat pada masa ini adalah dengan adanya penubuhan Akademi Pertahanan ABDB (AP ABDB) sebagai organisasi yang membantu membimbing perkembangan profesionalisme di dalam ABDB.

    AP ABDB ditubuhkan dengan tujuan untuk menerajui pembelajaran sepanjang hayat dan untuk menggalakkan perkembangan profesionalisme pegawai-pegawai ABDB, tambah beliau lagi semasa ditemu bual pada Upacara Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-57 yang berlangsung di Penanjong Garison, Tutong, pagi tadi.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika ditemu bual Media Permata.
    Haji Roslan bersama rakan-rakan dari NBT Brunei yang turut memeriahkan acara sambutan di Penanjong Garison, Tutong.

    Terdahulu itu, Yang Berhormat Dato mengucapkan penghargaan serta setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga dan anggota ABDB bersempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-57.

    “Syukur kepada Allah S.W.T, ABDB telah mencapai hari ulang tahun yang ke-57 dan Alhamdulillah ABDB seperti mana juga peranan dalam mempertahankan kedaulatan Negara Brunei Darussalam telah pun dapat melaksanakan tugas dan amanah dalam sama-sama mempertahankan negara yang kita cintai,” ujarnya.

    Salah seorang pesara ABDB yang ditemui pada upacara berkenaan, Haji Roslan bin Haji Abu Bakar juga bersetuju bahawa perkembangan ABDB dapat dilihat dengan ketara dan nampak kemajuannya berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    “Saya amat bangga melihatnya, walau bagaimanapun, kita harus tetap tidak akan lari daripada anasir serta sentiasa peka terhadap ancaman luar kerana ABDB adalah benteng serta barisan depan dalam menjaga dan mempertahankan negara,” ujarnya.

    Upacara tahunan itu telah menarik perhatian ramai orang yang tidak mensia-siakan peluang keemasan untuk menyertai pameran-pameran serta menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

    Salah seorang pengunjung yang ditemui, Dayang Hazimatul Diyana binti Narudin yang mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun ABDB ke-57 kepada seluruh warga ABDB dan mantan ABDB serta mendoakan agar Negara Brunei Darussalam akan tetap mengecap keamanan dan kesejahteraan di bawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Perasaan teruja serta gembira dapat dilihat pada wajah kanak-kanak yang turut tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan menaiki dan mencuba jentera-jentera tentera yang terdapat pada pameran berkenaan.

    Antaranya ialah Awang Mohd Dahinrizq bin Mohd Zulkipli, lapan tahun, yang sedari awal pagi sungguh bersemangat hadir bersama-sama kaum keluarga lainnya bagi melihat serta menyaksikan sendiri pameran-pameran serta pertunjukan yang diadakan di Penanjong Garison.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda