Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Dalam usianya yang sudah semakin matang, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah banyak menunjukkan perkembangan yang amat ketara.
Sebagai sebuah institusi pertahanan, keupayaan ketenteraan yang moden adalah penting, namun apa yang lebih kritikal adalah mempunyai kapasiti sumber tenaga manusia yang berkelayakan dan kompeten melalui peningkatan pembelajaran akademik dan latihan bagi membolehkan pengemaskinian dasar dan doktrin selaras dengan keperluan pertahanan negara dan keadaan semasa.
“Dalam hubungan ini, sukacita saya mengambil maklum sejak tahun 2022 kekuatan ABDB telah meningkat sebanyak 11 peratus, iaitu penambahan seramai 1,130 anggota.
“Ini antara lain adalah hasil daripada pengemaskinian dasar pengambilan dan pengekalan anggota melalui pertambahan kapasiti latihan asas ketenteraan rekrut daripada 540 ke 960 anggota dan kapasiti maksimum 100 pegawai kadet setiap tahun.”
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan sabda semasa Upacara Perbarisan Raksasa Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (HUT ABDB) ke-64 di Padang Kawad Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Pangkalan Laut Muara, kelmarin.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda lagi pengemaskinian Dasar Struktur Perkembangan Kerjaya (SPK) yang antara lain mengekalkan perkhidmatan melalui ikat janji bagi anggota-anggota yang dinaikkan pangkat dan menghadiri kursus-kursus tertentu sebagai langkah rancangan pelapis anggota yang mampan.
“Ini dapat dilihat melalui statistik tiga tahun kebelakangan, dalam mana seramai 119 anggota telah melanjutkan perkhidmatan selepas 26 tahun, iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding tahun 2022.”
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota juga menzahirkan perasaan gembira atas usaha ABDB meningkatkan kapasiti sumber tenaga manusia, antaranya memaksimumkan pengendalian kursus dan latihan di dalam negara melalui kolaborasi dengan Universiti Brunei Darussalam bagi Pendidikan Profesional Ketenteraan serta Institusi Pendidikan Teknikal Brunei bagi kepakaran teknikal, termasuk inisiatif mendatangkan jurulatih-jurulatih tertentu dari negara sahabat ke arah mengoptimumkan jumlah anggota yang mengikuti latihan serta penjimatan perbelanjaan negara.
“Saya sukacita mengambil maklum terkini hanya segelintir kursus sahaja yang masih dihantar ke luar negara mengambil kira keperluan prasarana khusus, ketiadaan pakar bagi kursus-kursus spesialis, serta jumlah pelatih yang kecil dalam satu masa untuk dikendalikan secara berkesan di dalam negara.
“Sehubungan dengan itu, saya berharap tahap profesionalisme tentera hendaklah terus dipertingkatkan agar dapat diiktiraf sebanding dengan kepakaran tertentu di sektor awam,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.
Dalam hal itu, Duli Yang Teramat Mulia berpendapat Rejimen Jurutera Tentera Darat Diraja Brunei perlu mempunyai kelayakan dan kepakaran kejuruteraan yang diiktiraf untuk membolehkan ABDB melaksanakan reka bentuk, projek-projek pembinaan dan pengubahsuaian serta keperluan pelupusan selaras dengan peraturan negara, tanpa bergantung kepada kepakaran di sektor awam.
“Ke arah itu, saya berharap Kementerian Pertahanan, khususnya ABDB, melalui pendekatan senegara akan dapat menjalinkan kerjasama dengan kementerian atau institusi berkepentingan untuk mencapai hasrat ini.
“Dengan meningkatnya ancaman digital daripada serangan siber dan teknologi maklumat, saya mengambil maklum ABDB juga sedang giat mengungkayahkan pelbagai inisiatif yang menjurus kepada meningkatkan kompetensi anggota melalui kursus dan pendedahan tertentu dengan pihak-pihak yang lebih berpengalaman dari dalam dan luar negara.”
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota bersabda menzahirkan harapan kerjasama ABDB dengan agensi-agensi keselamatan siber kebangsaan, khususnya Cyber Security Brunei yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, serta kerjasama dengan angkatan tentera negara-negara sahabat untuk diteruskan supaya keutuhan pertahanan siber negara dapat dicapai secara holistik.
“Saya juga difahami Rejimen Pasukan Khas telah berjaya melahirkan seramai 28 anggota Pasukan Khas Tier 2 yang akan seterusnya menjadi perintis kepada penubuhan unit-unit Pasukan Khas Tier 2 bagi tentera-tentera darat, laut dan udara diraja Brunei mengikut kepakaran tempur khas darat, laut dan udara masing-masing sebagai langkah kepada pembentukan Markas Operasi Khas atau Special Operations Command (SOCOM) yang bakal ditubuhkan.
“Dengan adanya serta keberhasilan pelbagai usaha pelaburan dalam pembangunan kapasiti tenaga manusia ini, ABDB akan mampu menjamin tahap kesediaan dan kesiapsiagaan tempurnya yang tinggi pada setiap masa.”