Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dalam usaha untuk membantu bekas banduan mendapatkan pekerjaan, Jabatan Penjara telah bekerjasama dengan 76 buah syarikat tempatan dan 22 buah badan bukan kerajaan (NGO) melalui program Aftercare, dalam membantu 73 bekas banduan yang berdaftar sebagai Rakan Seliaan (RS) untuk mendapat pekerjaan dan 27 RS untuk memulakan perniagaan sendiri.
Di samping itu, dalam memeduli dan memberikan peluang kepada banduan yang masih menjalani pemenjaraan yang mempunyai potensi untuk memperkasa keupayaan mereka dalam bidang akademik, KHEDN melalui Jabatan Penjara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan pihak swasta adalah dalam persediaan untuk memulakan sesi akademik bermula Oktober 2025 iaitu sebagai persiapan untuk para banduan yang terpilih untuk menduduki peperiksaan di peringkat GCE O Level pada Jun tahun hadapan.
“Kementerian sentiasa optimis dalam menjayakan agenda pemulihan para banduan agar setiap insan yang pernah terkhilaf mendapat peluang memajukan diri agar mereka dapat merubah ke arah kehidupan yang lebih baik, menjadi insan yang berguna dan produktif.”
Usaha itu diketengahkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dalam perbahasan bagi usul Wawasan Brunei 2035 semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Beliau menerangkan lagi bahawa usaha itu merupakan usaha berterusan untuk menangani isu kemasukan berulang serta percaya sokongan pelbagai pihak bermula diperingkat keluarga, komuniti dan kerajaan adalah sangat-sangat diperlukan.


Terdahulu dalam perbahasannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin turut menekankan dalam memperkukuhkan kesejahteraan pekerja tempatan dan memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, KHEDN melalui Jabatan Buruh telah mempersyaratkan bagi setiap syarikat yang hendak mengambil pekerja asing untuk mendapatkan surat pengesahan daripada Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) sebelum permohonan Lesen Pekerja Asing mereka dipertimbangkan.
“Dasar mempersyaratkan surat pengesahan ini adalah untuk menggalakkan pengusaha-pengusaha dan syarikat-syarikat tempatan memberi keutamaan kepada anak-anak tempatan terlebih dahulu sebelum menggaji pekerja asing dan seterusnya membantu syarikat mencapai penyetempatan yang optima.”
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan menurut maklumat daripada Banci Majikan dan Pekerja iaitu setakat 1 April 2024, jumlah syarikat yang menjalankan kegiatan runcit di negara ini adalah sebanyak 1,444 dengan jumlah tenaga kerja seramai 14,351 orang.
Daripada jumlah itu, jelasnya, seramai 6,001 orang terdiri daripada pekerja tempatan manakala 8,350 orang pekerja warga asing.
Manakala, dari segi pemilikan pula, semua kedai runcit adalah dimiliki oleh warga tempatan, namun sebahagiannya iaitu 475 buah syarikat daripadanya mempunyai pemilikan bersama dengan warga asing.
“Istilah-istilah yang sering digunakan tidak sepatutnya ditimbulkan memandangkan proses-proses pengambilan dan pengeluaran visa dan Pas Kerja bagi pekerja asing telah diperkukuhkan dan telus dengan penglibatan agensi-agensi yang berkepentingan dalam Kerajaan.”
Manakala, menurut Kajian Tenaga Kerja 2024, penyertaan tenaga kerja tempatan adalah pada kadar 71.3 peratus iaitu peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Manakala, tenaga kerja asing merangkumi 28.7 peratus daripada keseluruhan pasaran buruh negara.
Dalam kategori jawatan Professional, Managerial, Executive and Technical (PMET), Yang Berhormat Dato turut menyatakan bahawa seramai 71,500 orang anak tempatan telah mengisi jawatan berkenaan, berbanding 15,900 orang pekerja asing di mana ia mencerminkan trend positif selari dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

