Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Akademi Dakwah cungkil bakat daie

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Program Akademi Dakwah 5.0 merupakan sebuah inisiatif yang dirangka khusus bagi mencungkil serta menggilap bakat para daie yang berpotensi besar sebagai pelapis kepada barisan pendakwah masa hadapan di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam hubungan itu, Badan Sukarelawan Belia Daie dengan kerjasama Urus setia Program Keugamaan Belia (PKB) Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan Majlis Perasmian Program Akademi Dakwah 5.0 bagi Tahun 1446H bersamaan 2025M yang berlangsung di Dewan Persidangan, PDI, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian program berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Zakaria bin Haji Serudin.

    Program Akademi Dakwah 5.0 disertai oleh seramai 33 orang peserta iaitu 13 orang Muslimin dan 20 orang Muslimah di kalangan para belia daripada pelbagai bidang pengajian dan profesional.

    Akademi Dakwah 5.0 membawa tema, Berdakwah dengan Ilmu dan Iman, Berakhlak Mulia Jadi Daie Teladan, di mana sesi pengajian bagi program berkenaan bermula pada 13 Jun hingga 12 Julai yang mengandungi empat sesi yang diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad.

    ATAS & BAWAH: Haji Zakaria bergambar ramai bersama para peserta program berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Haji Zakaria menghadiri mengadakan Majlis Perasmian Program Akademi Da’wah 5.0 bagi Tahun 1446H bersamaan 2025M yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Da’wah Islamiah, hari ini. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    ATAS & BAWAH: Para peserta Program Akademi Da’wah 5.0 yang menghadiri majlis perasmian program berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Bacaan ikrar oleh peserta-peserta Program Akademi Da’wah 5.0. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Pelancaran Program Akademi Dakwah 5.0 disempurnakan oleh Haji Zakaria dan seterusnya menyaksikan bacaan ikrar para peserta program yang diketuai oleh Awang Mohammad Haziq Nizar bin Ibrahim, peserta program Akademi Dakwah 5.0.

    Program Akademi Dakwah berperanan sebagai wadah untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai kepentingan berdakwah secara berhemah, berlandaskan ilmu serta pendekatan yang sesuai dengan tuntutan semasa.

    Di samping itu, pengisian tarbiyyah yang ditawarkan bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman peserta serta memperkasa kemahiran mereka agar mampu menyampaikan risalah dakwah dengan lebih berkesan, beretika dan penuh hikmah dalam pelbagai lapangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

    Melalui Akademi Dakwah 5.0, peserta diberikan latihan intensif, bimbingan berstruktur, dan peluang untuk mendalami aspek penting dalam berdakwah.

    Program itu bukan sahaja mempersiapkan mereka dengan ilmu dan strategi dakwah tetapi juga mengukuhkan keperibadian dalam menyebarkan kebaikan kepada masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda