Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Kementerian Kesihatan dengan kerjasama DST telah mengadakan Ramadan Charity Drive yang merupakan sebuah inisiatif tahunan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) DST, Ihsan Kasih pada 27 Mac lalu.
Menurut kenyataan bersama DST dan Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan di sini, inisiatif itu bermatlamat untuk menyebarkan rasa kasih, keprihatinan dan pemedulian kepada golongan yang memerlukan terutamanya semasa bulan Ramadan.
Pada tahun ini, DST telah mengambil pendekatan yang berbeza untuk memberikan impak yang lebih bermakna dan berpanjangan melalui kerjasama dengan Unit Kerja Sosial Perubatan (MSW), Kementerian Kesihatan untuk mengutamakan pesakit-pesakit yang memerlukan bekalan dan peralatan perubatan bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Acara amal Ramadan Ihsan Kasih berkenaan telah diketuai oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad dan Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni bersama-sama kepimpinan kanan DST, ahli-ahli pasukan DST serta pegawai dan kakitangan dari MSW.
Radin Sufri dipetik menyatakan, kerjasama antara DST dan MSW menggariskan komitmen mereka kepada menyokong keperluan penjagaan kesihatan pesakit-pesakit kurang berkemampuan dalam komuniti.

Menerusi Ihsan Kasih, tambahnya, mereka berharap untuk menggabungkan warga DST dalam kerja-kerja kesukarelawan berpandukan kepada rasa kasih dan keprihatian untuk menjana impak positif bagi warga Brunei yang memerlukan.
Senarai pesakit-pesakit yang memerlukan bekalan perubatan telah dikemaskinikan dengan teliti oleh MSW yang mengetengahkan individu-individu yang memerlukan bantuan segera, yang bukan sahaja meliputi Daerah Brunei dan Muara tetapi juga Daerah Tutong.
Acara amal DST itu dihasratkan untuk menangani keperluan bagi mereka yang benar-benar memerlukan dengan menyediakan bekalan dan peralatan perubatan penting. Radin Sufri berkata lagi bahawa pihaknya amat berbesar hati untuk melaksanakan acara amal berkenaan bersama pasukan petugas kebajikan perubatan RIPAS dan yakin, bersama mereka berharap untuk melakukan perubahan yang bermakna dalam kehidupan para pesakit yang memerlukan serta menyumbang kepada kesejahteraan mereka semasa bulan Ramadan dan seterusnya. Antara barangan perubatan yang disumbangkan oleh DST kepada 23 orang pesakit kurang berkemampuan ialah katil hospital, alat bantuan pendengaran, bekalan susu, mesin oksigen.
DST berharap melalui sumbangan berkenaan, ia akan membantu meringankan beban perbelanjaan perubatan para pesakit dan meningkatkan kualiti kehidupan bagi jangka panjang.

