Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Program Antarabangsa PPPBD dirasmi

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah hari ini telah berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Program Antarabangsa Share Learn Grow Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) Tahun 2023.

    Keberangkatan Yang Teramat Mulia ke Dewan Serba guna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah dijunjung Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Viviyanti binti Haji Mohd Ali selaku pengerusi program antarabangsa berkenaan.

    Pada majlis itu, Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda perasmian dengan menjelaskan bahawa kehadiran peserta program melambangkan keupayaan pergerakan untuk membawa anak-anak muda perempuan dan wanita bersama-sama dalam suasana persekitaran Negara Brunei Darussalam, The Abode of Peace.

    Yang Teramat Mulia dalam sabdanya turut berharap semua peserta dapat menikmati penginapan yang sangat menyeronokkan dipenuhi dengan pengalaman bermakna dan kenangan yang berkekalan.

    “Semoga ini juga memberikan peluang kepada peserta untuk mempelajari tentang budaya yang berbeza dan membina persahabatan yang kukuh dan sepanjang hayat,” sabdanya.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berkenan dijunjung bagi bergambar ramai. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berkenan mengurniakan sabda. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH : Antara yang menyertai Program Antarabangsa Share Learn Grow PPPBD. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Program berkenaan disertai oleh 210 peserta daripada sembilan buah negara iaitu Negara Brunei Darussalam, Bangladesh, Kemboja, India, Malaysia, Maldives, Pakistan, Filipina dan Singapura.

    Antara lain tujuan program adalah untuk mempromosi kerjasama dan kolaborasi dalam persekitaran yang sihat dan selamat, menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), merangsang kerjasama dan kepimpinan antara generasi serta mengenali Brunei Darussalam secara lebih dekat.

    Terdahulu penyempurnaan perasmian program berkenaan, Hajah Viviyanti dalam sembah alu-aluan antara lain menggariskan, dalam meraikan 70 tahun PPPBD, mereka merenungkan kelebihan dan pem-belajaran yang mendalam dalam teras pergerakan mereka.

    “Dengan moto ‘Bersedia’ merangkumi komitmen kami untuk memimpin anak-anak muda perempuan dan wanita ke arah menjadi warga global yang bertanggungjawab dan dinamik,” jelasnya.

    Beliau turut menyembahkan, sambutan itu juga adalah pengiktirafan bahawa kepimpinan dalam Pandu Puteri adalah lebih daripada peranan, ia adalah peluang untuk anak-anak muda perempuan dan wanita menimba ilmu, membina keyakinan dan memperoleh kemahiran baharu.

    Turut hadir pada majlis itu ialah naib-naib yang dipertua sepanjang hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris dan Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali.

    Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik, Persekutuan Pandu Puteri dan Pengakap Perempuan Sedunia (WAGGGS), Chempaka Emalin Pahamin; ahli Lembaga Dunia WAGGGS, Sharrada Segeran dan Sukarelawan WAGGGS, Dato Jeyadhevi Subramaniam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...