Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Dalam usaha memperkasakan program dan latihan pembangunan untuk para pekerjanya, Bank Standard Chartered (StanChart) telah menganjur Program Kepimpinan Teras intensif selama dua hari baru-baru ini.
Menerusi program berkenaan, selain berikrar kepada perjanjian kepimpinan, para peserta berpeluang melakukan kajian kes dimensi yang berkaitan dengan senario yang diambil daripada syarikat sebenar dan menggunakan kemahiran kepimpinan mereka secara berpasukan untuk menawarkan penyelesaian inovatif kepada cabaran yang dihadapi.
Hadir selaku ahli panel pembentangan bersama ahli pengurusan yang lain dalam menyokong program berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif StanChart, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim.
Program menawarkan maklum balas secara real time kepada para pekerja dan markah kepada semua pasukan yang terlibat secara maya di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei yang merupakan sebahagian daripada kohort tahun itu. Pengiran Aki Ismasufian berkata program berkenaan bertujuan untuk mengasah kemahiran kepimpinan pekerja dan sebagai sebuah organisasi, bank akan terus berpegang teguh kepada nilai-nilai utamanya.
“Bukan itu sahaja, program ini menawarkan perspektif dan idea baharu di mana mereka berpeluang untuk berhubung secara bersemuka bersama pemimpin yang berfikiran sama.
Menerusi program ini, kami berharap kakitangan akan diperkasa untuk menjadi pemimpin yang efisien,” ujarnya.