Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program ASEAN-ROK TVET Mobility pupuk kerjasama antarabangsa

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Program ASEAN-ROK TVET Mobility merupakan sebuah program yang memupuk kerjasama antarabangsa, kefahaman dan pertumbuhan diri yang dapat memanfaatkan para peserta program dan masyarakat.

    Program itu juga dapat memperluaskan perspektif budaya, mempromosikan peluang rangkaian serta meningkatkan kebolehkerjaan para peserta dengan meningkatkan kefasihan bahasa, pemikiran kritikal, keupayaan menyelesaikan masalah dan keupayaan penyesuaian diri mereka.

    Pada masa yang sama, ia juga menyumbang kepada pembangunan negara dengan memperkenalkan idea-idea dan kemahiran baharu untuk meningkatkan amalan yang sedia ada.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IBTE dan Pengarah Pendidikan Teknikal, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam ucapannya pada Majlis Penutup Program ASEAN-ROK TVET Mobility yang berlangsung di Hotel Radisson, di ibu negara, kelmarin.

    Terdahulu dalam ucapannya, beliau menerangkan program berkenaan bermatlamat untuk menghubungkan jurang antara permintaan dan bekalan kemahiran teknikal dan vokasional kritikal di Asia Tenggara di mana sektor perkhidmatan maklumat dan komputer merupakan salah satu daripada lima sektor keutamaan TVET yang ditekankan dalam program berkenaan.

    Dr Haji Mohd Zamri menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Dr Haji Mohd Zamri menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta Program ASEAN-ROK TVET Mobility. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Dr Haji Mohd Zamri dan para jemputan khas bergambar ramai dengan para peserta Program ASEAN-ROK TVET Mobility yang berjaya menamatkan program selama tiga bulan itu. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Pada majlis berkenaan, seramai 25 orang peserta telah menamatkan program yang berjalan selama tiga bulan bermula 18 April hingga 8 Julai yang dikendalikan di Kolej Antarabangsa Micronet, Cawangan Jerudong.

    Para peserta program datang dari enam buah negara anggota ASEAN iaitu Indonesia, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Laos dan Filipina di mana penyertaan mereka diharap dapat mengurangkan jurang dalam kompetensi pekerjaan serta mengintegrasikan Revolusi Perindustrian Keempat dalam kurikulum yang dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan berkemahiran dan siaga masa hadapan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

    Pada majlis berkenaan, Dr Haji Mohd Zamri telah menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan program kepada para peserta kumpulan kedua Program ASEAN-ROK TVET Mobility.

    Program komprehensif berkenaan merangkumi latihan dalam sekolah selama enam minggu dan latihan penempatan kerja selama enam minggu.

    Topik-topik penting meliputi perancangan, penyediaan dan pengurusan rangkaian, keselamatan rangkaian, standard protokol, amalan terbaik industri serta pengurusan risiko.

    Menerusi latihan penempatan kerja, para peserta berpeluang menggunakan kemahiran baharu mereka dalam suasana industri sebenar, meningkatkan kecekapan dan menghubungkan jurang antara teori dan amalan.

    Program ASEAN-ROK TVET Mobility merupakan sebuah projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Dewan Perniagaan dan Industri Korea (KCCI) menerusi Dana Kerjasama ASEAN-ROK (AKCF).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda