Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Darussalam Enterprise (DARe) bekerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam untuk melancarkan program Academy for Women Entrepreneurs (AWE) global di Brunei buat julung kalinya pada Oktober ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan DARe, AWE akan menyediakan latihan dan bimbingan sepenuhnya selama beberapa bulan kepada para peserta wanita yang telah memulakan perniagaan mereka sendiri, melalui platform latihan dalam talian yang dinamakan DreamBuilder.
Pada akhir kursus nanti, para peserta akan berpeluang melancarkan idea perniagaan mereka dan tiga peserta teratas akan berpeluang menerima dana AS$3,000 setiap seorang.
Peserta akan menjalani 13 modul yang mengambil masa kira-kira 30 jam dengan bantuan fasilitator DARe.
Menerusi akademi berkenaan, 30 wanita dijangka akan merangkumi kumpulan pertama AWE yang merupakan inisiatif seluruh dunia Biro Pendidikan dan Kebudayaan Jabatan Negara AS dan sebagai sebahagian daripada White House-led Women’s Global Development and Prosperity Initiative.
Charge d Affaires Kedutaan AS di Brunei, Emily Fleckner dipetik berkata, dijalankan di lebih 50 buah negara sejak dilancarkan pada 2019, AWE adalah sesuai bagi Brunei.
“Program ini secara langsung menyokong Brunei selaku pengerusi ASEAN dan deliverables komuniti sosiobudaya ASEAN untuk memajukan kesaksamaan jantina dn memperkasa wanita dengan membantu merealisasikan idea-idea keusahawanan mereka,” tambah beliau.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Javed Ahmad berkata, program AWE akan membantu melengkapkan inisiatif pengembangan kapasiti DARe yang kini sedang dilaksanakan secara maya ketika gelombang kedua COVID-19 melanda negara.
Menerusi program itu, tambahnya, ia juga menyediakan akses kepada mentor antarabangsa yang sekali gus menawarkan peluang untuk sinergi yang lebih besar di antara para pesertanya dalam mengatasi halangan dihadapi ketika memulakan, menjalankan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Beliau menambah, graduan AWE di Brunei akan berpeluang untuk mendaftar ke bootcamp perniagaan DARe dan mengakses ekosistem inisiatif pengembangan perniagaan mereka yang merangkumi pembiayaan, perundingan, pensijilan, dan ruang.
AWE terbuka untuk usahawan wanita yang berumur antara 18 hingga 40 tahun yang dalam peringkat awal memulakan atau menjalankan perniagaan dan memiliki latihan perniagaan yang terhad.