Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program B.E.S.T dilancar

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Kementerian Pendidikan hari ini telah mengadakan Majlis Pelancaran Program Minggu B.E.S.T (Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab) Kementerian Pendidikan Tahun 2024 bertempat di Teater Multimedia, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.

    Program Minggu B.E.S.T merupakan inisiatif berterusan Kementerian Pendidikan dalam usaha membendung dan mencegah gejala buli termasuk buli siber agar tidak berlaku dalam kalangan pelajar di sekolah.

    Buli siber merupakan salah satu bentuk buli yang berlaku melalui platform digital seperti media sosial, aplikasi pemesejan dan laman web. Buli siber boleh memberi kesan mendalam kepada mangsa, termasuk tekanan emosi, gangguan mental, dan dalam kes yang lebih serius, ia boleh menyebabkan kemurungan.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi melancarkan program berkenaan ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Haji Sammali bin Haji Adam; diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh salah seorang pelajar Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba, Awang Ahmad Harith Irfan bin Haji Umardani.

    Ahli-ahli panel semasa mengendalikan forum pada program berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Dr Hajah Dayang Nor Zaiham Midawati binti Haji Abdullah; sebelum disusuli dengan sesi pelancaran Program Minggu B.E.S.T, yang disempurnakan menerusi tayangan klip video kesedaran mengenai buli siber oleh tetamu kehormat.

    Majlis turut menyaksikan forum bertajuk Buli Siber dari Perspektif Sivil dan Syariah selaras dengan tema Program Minggu B.E.S.T tahun ini, iaitu Kesedaran Mengenai Buli Siber.

    Ahli-ahli panel forum terdiri daripada Ketua Unit Perkhidmatan Kaunseling, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Dayang Masiryanti binti Haji Awang Mashor; Ketua Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Pasukan Polis Diraja Brunei, DSP Norkhatijah binti Haji Zainal; Pengurus Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), Dayang Nur Syamimi binti Suhaimi; dan Penasihat Undang-undang dan Pegawai Pendakwa Raya, Pejabat Peguam Negara, Dayang Sabrina binti Haji Mahmud.

    Forum bagi Program Minggu B.E.S.T pada tahun ini dikendalikan bersama oleh Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan dan JPI, KHEU melalui Program Keagamaan Senegara jabatan berkenaan.

    Majlis diakhiri dengan penyerahan poster kesedaran mengenai buli siber kepada pemimpin-pemimpin sekolah yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis. Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan; pemimpin-pemimpin sekolah; dan para pelajar.

    Pelaksanaan program berkenaan juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan dengan penyebaran maklumat khusus untuk mendidik pelajar-pelajar mengawal diri agar isu buli siber dapat dielakkan.

    Selain itu, program ini mendedahkan pelajar kepada bahaya buli siber dan kesan buruk, dengan harapan dapat melahirkan pelajar yang berdisiplin, saling menghormati serta mempunyai peribadi dan akhlak yang baik.

    Program berkenaan dianjurkan bersempena Hari Antarabangsa Menentang Keganasan dan Buli di Sekolah Termasuk Buli Siber yang ditetapkan oleh pihak UNESCO yang jatuh pada setiap hari Khamis Pertama dalam bulan November setiap tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda