Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program baharu bakal diperkenal

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam mengembangkan program akademiknya sejajar dengan keperluan pembangunan dan kemajuan negara, akan mula menawarkan beberapa program baharu di peringkat siswazah dan prasiswazah pada semester akan datang.

    Program-program berkenaan ialah Program Diploma Siswazah Daie dan Kepimpinan yang ditawarkan oleh Fakulti Usuluddin, Program Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Akuakultur) dan Program Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah Akuakultur di bawah Fakulti Pertanian serta ijazah sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah Sains Halal dan Inovasi yang ditawarkan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban.

    Perkara itu dinyatakan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Hafl Al-Takharruj ke-13 UNISSA yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Menerangkan lanjut, beliau berkata Program Diploma Siswazah Daie dan Kepimpinan dihasratkan untuk melahirkan para daie yang profesional, berkaliber, karismatik, berkeperibadian unggul, memiliki kemahiran serta ilmu yang luas dalam pelbagai disiplin ilmu.

    Mengulas mengenai program yang ditawarkan di bawah Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Dr Haji Norarfan berkata sektor akuakultur, sains halal dan inovasi itu, sangat berpotensi untuk dikembangmajukan bagi membantu negara membangun industri yang pelbagai dan mewujudkan ekosistem ekonomi yang berdaya tahan.

    Dr Haji Norarfan semasa menyampaikan ucapannya di ICC Berakas, kelmarin. – Gambar Muiz Matdani

    “Dalam menyokong wawasan murni ini, program yang akan ditawarkan Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban ini dihasratkan untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi dalam bidang yang berkaitan,” ujarnya.

    Dr Haji Norarfan seterusnya menyatakan bahawa menjadi agenda UNISSA untuk sentiasa menyuburkan budaya penyelidikan. Walau bagaimanapun, prinsip lazim yang diamalkan iaitu penyelidikan asas untuk mencari kebenaran dan memperluas ufuk ilmu pada masa kini, sudah perlu diterjemahkan kepada inovasi.

    “Inovasi yang akan memberikan impak positif kepada golongan sasaran dalam kalangan masyarakat,” tekannya lagi.

    Beliau berkata, UNISSA sudah mula memperluaskan ufuk penyelidikan dengan menjadikan hasil penyelidikan inovasi sosial yang memenuhi keperluan sasaran.

    “Ini terbukti dengan pencapaian anugerah inovasi dalam beberapa pertandingan yang diceburi. Kejayaan tidak diraih oleh para warga akademik semata-mata bahkan turut sama dikecapi oleh para pelajar,” tekannya.

    Dr Haji Norarfan menyatakan bahawa penyelidikan bertajuk Invention on Soil Revitalization for High Crop Yield, merupakan antara yang banyak mendapat anugerah inovasi di arena antarabangsa di mana ia menerima lima anugerah.

    Anugerah-anugerah berkenaan termasuk pingat emas dan anugerah cemerlang dalam 15th European Exhibition of Creativity and Innovation 2023 di Romania, empat anugerah oleh World Invention Creativity Olympic (WICO 2023) di Korea Selatan serta dalam Virtual Innovation Competition, Malaysia, tiga inovasi yang diterajui pelajar mengungguli pingat emas dalam kategori Tertiary Social Science.

    Sementara itu, dalam mena-ngani isu kesihatan dan kesejahteraan mental yang semakin meningkat, beliau berkata UNISSA melalui Unit Perkhidmatan Kaunseling, Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah mengambil inisiatif menubuhkan program Rakan UMAT (RU).

    Program itu berperanan menjadi pendengar yang peka kepada sesama rakan dan ia menjadikan mereka sebagai khidmat sokongan yang membantu Unit Kaunseling.
    Beliau menambah bahawa sehingga hari ini, UNISSA telah mempunyai tiga pengambilan

    bagi program berkenaan dan telah banyak memberikan bantuan kepada pelajar dengan ahli-ahlinya juga diberikan kursus asas dalam perkhidmatan kaunseling oleh para kaunselor yang bertauliah.

    Penubuhan RU, ulasnya lagi, adalah selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) ketiga yang mempromosikan kesihatan yang baik dan kesejahteraan serta merupakan salah satu prinsip utama dalam Maqasid Syariah iaitu menjaga akal.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda