Monday, November 18, 2024
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program BALANCE bantu kawal diabetes jenis 2

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Program BALANCE adalah intervensi baharu dari Kementerian Kesihatan yang boleh digunakan untuk penghidap diabetes mellitus jenis 2 dan boleh didapati melalui aplikasi BruHealth.

    Program ini melibatkan penggunaan terapi digital yang akan menyediakan khidmat nasihat tentang pemakanan, senaman, perubahan gaya hidup dan peserta boleh memasukkan pelan pemantauan paras gula darah dengan bimbingan jurulatih kesihatan untuk membantu mengawal diabetes masing-masing.

    Perkara tersebut dijelaskan oleh Konsultan Endokrinologi dan Ketua Unit Endokrinologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr Lina Chong Pui Lin semasa ditemu bual mengenai program berkenaan di Hospital RIPAS, baru-baru ini.

    KEPENTINGAN PROGRAM BALANCE

    Menyentuh mengenai kepentingan kajian penyelidikan menerusi Program BALANCE, Dr Lina menyatakan ia sangat mustahak memandangkan peningkatan kes penyakit diabetes mellitus jenis 2, dengan anggaran satu daripada 10 orang di Negara Brunei Darussalam telah didiagnosis menghidap penyakit tersebut.

    “Beban penyakit ini juga semakin meningkat, kerana pesakit diabetes mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi seperti kegagalan buah pinggang, menjadi buta dan pengudungan kaki,” tekannya.

    Dr Lina semasa ditemu bual mengenai Program BALANCE di Hospital RIPAS, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH NURDIAYANAH R.
    Penghidap diabetes mengukur paras kandungan gula. – Freepik

    Oleh itu, menerusi Program BALANCE ini, ia akan membantu pihak Kementerian Kesihatan untuk menilai keberkesanan intervensi digital ini dalam menambah baikkan kawalan penyakit diabetes dengan memberikan tumpuan kepada perubahan gaya hidup yang sihat dan pengurusan diri sendiri.

    TEMPOH PELAKSANAAN PROGRAM BALANCE

    Mengenai tempoh pelaksanaan Program BALANCE, Dr Lina antaranya mengongsikan Program BALANCE telah dilancarkan pada 20 Ogos 2024. Ianya akan diteruskan selama enam bulan di mana orang ramai yang menghidap diabetes mellitus jenis 2 boleh menyertainya dan ia akan dilaksanakan selama empat bulan atau 16 minggu.

    Program ini terbuka kepada penghidap diabetes mellitus jenis 2 yang berumur antara 18 dan 70 tahun. Mereka yang berminat untuk menyertai boleh mendaftar secara sukarela melalui aplikasi BruHealth. Apa yang perlu dilakukan adalah memuat turun versi terkini aplikasi BruHealth, kemudian menekan butang MyHealth dan seterusnya menekan pada bahagian program BALANCE. Mereka akan diminta menjawab beberapa soalan bagi menilai kesesuaian mereka untuk program ini. Mereka akan dihubungi sebaik sahaja jawapan mereka telah disemak.

    Sehubungan itu, maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati di media sosial melalui aplikasi Bruhealth dan saluran media sosial, iaitu Instagram @mohbrunei dan @bruhealth.app.

    PENGISIAN MENARIK PROGRAM BALANCE

    Mengulas lanjut, Dr Lina berkata setelah peserta yang terpilih untuk mengikuti program ini dihubungi, mereka perlu menjalani ujian darah berpuasa.

    Peserta terpilih akan diberikan peralatan pemantauan secara percuma seperti gelang pintar, alat timbangan dan glukometer, peranti pemantauan gula darah untuk membolehkan peserta memeriksa gula darah sendiri.

    “Peserta akan mengikuti program BALANCE melalui aplikasi BruHealth mereka di mana pendidikan secara dalam talian dan panduan peribadi mengenai pemakanan, senaman dan pemantauan gula darah akan disediakan,” kongsinya.

    Tambah beliau lagi, peserta juga boleh berinteraksi seberapa kerap melalui panggilan video atau teks segera dengan jurulatih kesihatan tertentu untuk memantau perkembangan diabetes dan membuat penyesuaian yang berpatutan untuk kawalan diabetes mereka.

    Selain itu, peserta akan berjumpa dengan jurulatih kesihatan mereka secara bersemuka pada permulaan program sahaja.

    Selepas itu, komunikasi akan dijalankan melalui aplikasi BruHealth termasuk panggilan video jika diperlukan. Setelah selesai mengikuti program BALANCE selama 16 minggu ini, peserta akan dikehendaki menjalani satu lagi ujian darah berpuasa. Pada akhir program, peserta juga akan diberi laporan peribadi tentang kemajuan mereka.

    Sementara itu, peserta program yang beragama Islam juga akan dikehendaki menjawab beberapa soalan mengenai pengalaman mereka semasa berpuasa. Ini akan membantu kami untuk memahami bagaimana berpuasa dapat mempengaruhi penjagaan dan pengurusan penghidap diabetes mellitus jenis 2.

    “Ya, intervensi pernah dijalankan sebelum ini pada bulan April 2022 sehingga April 2023 tetapi tidak menggunakan aplikasi digital. Intervensi tersebut menunjukkan peningkatan yang ketara dalam kawalan diabetes bagi peserta yang mempunyai diabetes mellitus jenis 2 selepas menerima nasihat gaya hidup. Program BALANCE ini adalah lanjutan kepada intervensi tersebut dengan menggunakan aplikasi digital,” kongsi Dr Lina lagi.

    PENYERTAAN PROGRAM BALANCE SECARA SUKARELA

    Dari segi penyertaan dalam Program BALANCE, Dr Lina berkata penyertaan adalah secara sukarela, tetapi tahap penyertaan yang tinggi adalah sangat penting untuk membolehkan pihak Kementerian Kesihatan menentukan keberkesanan program itu. Harapannya adalah setiap individu akan dapat menggunakan program digital ini untuk membantu mereka mengawal diabetes dengan lebih efektif.

    Beliau turut menekankan bahawa semua maklumat yang diperoleh daripada program ini adalah sulit dan maklumat peribadi peserta tidak akan didedahkan.

    “Pihak Kementerian Kesihatan sangat menggalakkan penyertaan individu yang menghidap diabetes mellitus jenis 2 untuk menyertai program baharu ini. Harapan kami adalah untuk memberikan intervensi digital ini kepada pesakit diabetes mellitus jenis 2 di Brunei, tertakluk kepada kesesuaian.

    “Bagi pihak Kementerian Kesihatan, kami ingin merakamkan penghargaan kepada mereka yang ingin menyertai dan mereka yang sudah mendaftar setakat ini. Pada masa ini, terdapat lebih 140 peserta yang sudah menjalani program dan lebih 50 lagi yang akan memulakan program,” ujarnya.

    Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program BALANCE ini, bolehlah mengikuti Instagram Kementerian Kesihatan, @mohbrunei dan @bruhealth.app atau menghubungi terus melalui mesej WhatsApp di talian 7430790.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda