Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) dengan sokongan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), dan kerjasama Securities Industry Development Corporation (SIDC) Malaysia menganjurkan Program Pendidikan Eksekutif Lembaga (BEE) secara dalam talian yang berlangsung selama tiga hari, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, CIBFM menyatakan bahawa selepas kejayaan forum pertama pada 2019, program BEE itu dianjurkan buat kali kedua dengan membawa tema ‘Meningkatkan Prestasi Lembaga’. Peserta-peserta program terdiri daripada ahli lembaga pengarah, setiausaha korporat, ketua pegawai eksekutif dan juga eksekutif c-suite yang berminat dalam perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan-amalan terbaik serta strategi-strategi daripada pakar-pakar tempatan dan antarabangsa.
Program BEE merupakan satu program yang unik di mana ia terdiri daripada gabungan sesi bengkel dan forum atas talian. Ia mengetengahkan pelbagai topik termasuk, Corporate Governance and the Independent Non-Executive Director, Business Strategy and the Agile Board dan Shariah Governance. Di samping itu, sesi forum semasa program berkenaan telah membincangkan pelbagai topik termasuk, Corporate Governance 2020, Independent Director: The Missing Piece? dan Strategy: Agile Board Leadership.
Program mengetengahkan barisan penceramah tempatan dan antarabangsa termasuk Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman; Pengarah BPA Australasia, Chris Bennett; Ahli Lembaga Syariah, CS Financial, Malaysia, Dr Aznan Hassan dan Pengarah Bebas, Permodalan Nasional Berhad dan Axiata Group Berhad, Dato’ Dr Nik Ramlah Nik Mahmood. Program BEE merupakan salah satu acara dan inisiatif CIBFM yang bermatlamat untuk memenuhi peranannya sebagai pusat kecemerlangan industri kewangan tempatan dalam membangunkan kapasiti insan di Negara Brunei Darussalam.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara dan program latihan anjuran CIBFM, mereka boleh melayari laman sesawang CIBFM di www.cibfmbrunei.com atau menghubungi talian 8271140.