Saturday, April 19, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program banteras tembakau, vape di peringkat sekolah diteruskan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Usaha terus dilaksanakan untuk membendung gejala sosial dan meningkatkan kesedaran mengenai masalah disiplin di kalangan pelajar khususnya penggunaan tembakau atau vape melalui Program Pendidikan Kesedaran Anti Tembakau dan Tatacara Tindakan Menangani Kesalahan Merokok Atau Vaping di Peringkat Sekolah yang berlangsung di Pusat Tingkatan Enam Tutong, kelmarin.

    Program yang dilaksanakan oleh Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan berkenaan dihadiri oleh para pemimpin sekolah, guru kanan hal ehwal pelajar serta pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari sekolah-sekolah di bawah Zon 3.

    Program berkenaan turut dilaksanakan sebagai usaha sokongan Kementerian Pendidikan terhadap inisiatif Cross Functional Teams for Health (CFT) 2022–2025 oleh Kementerian Kesihatan, khususnya dalam menyokong salah satu tindakan utama, iaitu Giving Every Child the Best Start in Life.

    Antara pengisian dalam program adalah beberapa sesi taklimat daripada Bahagian Penguatkuasa Kesihatan, Jabatan Dasar dan Perancangan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Unit Kesejahteraan dan Perkembangan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.

    Selain tujuan program meningkatkan kesedaran pelajar dengan memberikan pemahaman mengenai kesan negatif terhadap kesihatan dan prestasi akademik, ia juga untuk memperluaskan pemahaman khususnya kepada pelajar, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta penghulu mukim dan ketua kampung mengenai garis panduan dan tindakan pihak sekolah dalam menangani kesalahan berkaitan penggunaan tembakau dan vape.

    Melalui program berkenaan, adalah diharapkan supaya pelbagai lapisan masyarakat secara amnya dapat memahami peranan masing-masing dalam menangani isu disiplin di sekolah yang melibatkan kesalahan penggunaan tembakau dan vape serta tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang terlibat dalam kesalahan tersebut.

    Program yang sama telah diadakan bagi sekolah-sekolah di bawah Zon 1 pada 15 April lalu di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI). Sementara bagi sekolah-sekolah di bawah Zon 2 akan diadakan esok, 19 April di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.

      

    Semua di atas: Antara sesi ceramah yang diadakan dalam program berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda