Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program bantu kanak-kanak lewat perkembangan

    CHICAGO – Alexander menonton Paw Patrol dengan penuh khusyuk, memeluk adiknya dan melakukan segala-galanya dengan penuh semangat.

    Apa yang masih belum boleh dilakukan oleh kanak-kanak Chicago Barat berusia tiga tahun itu adalah bercakap lebih daripada beberapa perkataan. Dia masih belum dapat mengimbangi dirinya dan tidak dapat memberitahu guru prasekolahnya apabila dia cedera atau takut.

    Alexander layak menyertai lima terapi melalui Early Intervention, program yang didedikasikan untuk merawat kelewatan perkembangan dalam anak damit dan kanak-kanak dan membantu mereka membangunkan alatan yang diperlukan untuk berkembang maju. Tetapi ibunya, Hilda Garcia, berkata mendapatkan bantuan itu terasa ‘seperti pekerjaan lain.’

    Walaupun selepas berulang kali menelefon, meneliti selama berjam-jam dan memaksa dirinya untuk bekerja dan menjaga anak, Garcia terpaksa menunggu lebih daripada setahun untuk temu janji secara peribadi dengan pembekal Early Intervention.

    Program yang dimandatkan oleh persekutuan itu dibelenggu masalah kekurangan kakitangan kronik, menyebabkan beribu-ribu ibu bapa yang terdesak kecewa: mereka tahu anak-anak mereka memerlukan sokongan, mereka menyedari terapi terbukti boleh membantu, namun ada yang perlu menunggu berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun untuk penjagaan yang diperlukan mereka.

    Alexander, yang menerima rawatan untuk perkembangan lewat, bermain dengan dinosaur di bilik tamu rumahnya di Chicago. – Gambar AP
    Pakar pertuturan Early Intervention, Megan Sanders mengadakan sesi terapi pertuturan dengan Aria Faulkner di rumahnya di Peoria, Illinois. – Gambar AP
    Megan Sanders meniup gelembung untuk Aria Faulkner semasa kunjungan ke rumahnya. – Gambar AP
    Hilda Garcia (kiri) membantu anaknya, Alexander dengan pertuturan di rumah mereka di Illinois. – Gambar AP
    Hilda Garcia mendukung anaknya ketika dia bercakap mengenai perjalanannya menjaga Alexander yang menerima rawatan untuk perkembangan lewat. – Gambar AP
    Gambar AP

    Ramai yang keluar dari program sebelum mengakses sebarang perkhidmatan sama sekali.

    “Apabila kita terlepas peluang untuk membantu mereka pada usia yang lebih muda, kadang kala kita mengehadkan potensi mereka sehingga peringkat dewasa,” menurut ahli patologi bahasa pertuturan Sarah Ziemba, penyedia Early Intervention di Peoria, Illinois.

    Early Intervention ditubuhkan pada 1986 untuk menangani kelewatan perkembangan kanak-kanak seperti Alexander secepat mungkin.

    Kira-kira satu daripada enam kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) mempunyai sekurang-kurangnya satu kecacatan atau kelewatan perkembangan, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

    Memandangkan semua negeri dan wilayah AS menerima pembiayaan persekutuan untuk Early Intervention, mereka bertanggungjawab di bawah Akta Pendidikan Orang Kelainan Upaya untuk menyediakan perkhidmatan kepada semua yang layak.

    Tetapi hampir semua negeri melaporkan kekurangan penyedia Early Intervention pada 2022, dan pegawai persekutuan berkata mereka masih bergelut mencari kakitangan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak kurang upaya.

    Kelewatan perkhidmatan di Illinois, tempat Alexander tinggal, meningkat dua kali ganda pada 2022, menurut organisasi penyokong awal kanak-kanak yang berpangkalan di Chicago, Start Early.

    Senarai tunggu – secara teknikalnya tidak dibenarkan kerana semua kanak-kanak yang layak mendapat Early Intervention – telah meningkat secara mendadak dan beribu-ribu pembekal telah meninggalkan lapangan, menurut Jabatan Perkhidmatan Manusia Illinois.

    Apabila kanak-kanak berumur tiga tahun, tanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan khas beralih daripada program Early Intervention ke daerah sekolah.

    Tetapi sistem tersebut juga kekurangan kakitangan dan tempah berlebihan, kata Ziemba.

    Keluarga yang mempunyai insurans persendirian boleh membayar untuk terapi di luar program, tetapi mereka yang tidak mampu sering ditinggalkan, jadi “dalam satu cara, Early Intervention menyumbang kepada beberapa ketidaksamaan sosial,” katanya.

    Penyelidikan menyokong penilaiannya. Laporan yang diterbitkan tahun ini oleh Institut Penyelidikan Pendidikan Awal Kebangsaan mendapati kanak-kanak Asia, Hispanik dan kulit hitam kurang berkemungkinan menerima Early Intervention dan perkhidmatan Pendidikan Khas Awal Kanak-kanak berbanding kanak-kanak kulit putih bukan Hispanik.

    “Bagi kanak-kanak kulit hitam, jurang dalam akses kepada perkhidmatan adalah sangat besar dan tidak dapat dijelaskan secara munasabah oleh perbezaan keperluan,” kata laporan itu.

    Pendapatan juga memainkan peranan, kata ketua penyelidik, Allison Friedman-Krauss.

    “Negeri yang lebih miskin memberikan khidmat kepada peratusan kanak-kanak yang lebih rendah, jadi benar-benar menunjukkan terdapat masalah di sana,” kata Friedman-Krauss.

    Tetapi negeri memerlukan lebih banyak pembekal dan tidak ada cara untuk menarik lebih ramai tanpa gaji yang lebih baik, kata Ziemba, menambah kebanyakan penyedia Early Intervention Illinois tidak mendapat faedah kesihatan atau cuti berbayar, dan boleh menambah dua kali ganda gaji mereka dengan bekerja di hospital, sekolah atau rumah jagaan.

    “Saya benar-benar rasa seperti kita melihat kegagalan keseluruhan program,” katanya.

    Penyedia dan penyelaras perkhidmatan, yang menghubungkan keluarga dengan perkhidmatan Early Intervention, tidak dibayar dengan baik, menurut Darcy Armbruster, ahli terapi fizikal kawasan Chicago yang telah bekerja dalam Early Intervention selama 11 tahun.

    Armbruster berkata dia suka hubungan yang dibina dengan keluarga, tetapi semangat dan kepuasan pekerjaan gagal membayar bil.

    “Setiap bulan, saya perlu duduk dan menilai semula di mana saya berada dan jika saya boleh meneruskan dan melakukan ini,” katanya.

    Impak terapi adalah ketara. Lindsey Faulkner, ibu kepada empat orang anak yang tinggal di Peoria, mendapat sesi terapi pertuturan secara peribadi untuk anak perempuannya yang berusia dua tahun, Aria, dalam masa sebulan selepas rujukannya.

    Dia berkongsi perbezaan yang dilihat pada anaknya selepas setahun bekerja dengan ahli terapi Megan Sanders.

    “Dia seorang kanak-kanak yang sama sekali berbeza setahun yang lalu, ” kata Faulkner.

    Walaupun Aria dapat memulakan terapi pertuturan dengan segera, dia telah berada dalam senarai menunggu untuk terapi perkembangan selama lebih setahun.

    Faulkner berasa ‘bingung’ apabila dia mengetahui tentang masa menunggu.

    “Awda perlu mendapatkan jawapan untuk anak awda,” katanya. “Namun di sini, sekarang awda perlu duduk dan menunggu.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda