Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Dalam usaha melahirkan belia berakhlak mulia, bertaraf dunia ejen siaga perubahan masa hadapan dalam semua pembangunan negara secara inklusif, Urus Setia Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 telah meneruskan sesi pembarigaan Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 (DBNS 2020-2035) ke Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, baru-baru ini.
Seramai 92 pelajar Tahun 10 dan tenaga pengajar sekolah berkenaan telah menghadiri sesi yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Pusat Pembangunan, Awang Haswandi bin Haji Osman, selaku Urus Setia DBNS.
Antara lain tujuan program pembarigaan ini adalah untuk memberikan maklumat tentang kepentingan dan matlamat DBNS 2020-2035 berkenaan kepada masyarakat terutama sekali golongan belia di negara ini.
Program kali ini disasarkan dan dilaksanakan secara in-klusif meliputi golongan belia yang berumur antara 15 tahun hingga 35 tahun berdasarkan definisi umur belia terkini dari kementerian-kementerian serta agensi swasta dan organisasi bukan kerajaan (NGO).
Ini juga termasuk golongan belia dari institusi-institusi pendidikan kerajaan dan swasta yang merangkumi sejumlah besar purata lingkungan belia dalam masyarakat di negara ini.
Selain itu, sesi juga diteruskan dengan taklimat mengenai dengan Aplikasi Mengalinga iaitu sebuah aplikasi digital sebagai platform untuk memperkasakan penglibatan golongan sukarelawan dalam acara yang dianjurkan oleh syarikat, organisasi dan NGO dan untuk penganjur mempelawa sukarelawan bagi menyertai acara-acara mereka.
Di samping itu, para pelajar juga turut berpeluang mendengarkan taklimat mengenai Pusat Pembangunan Belia dan kursus-kursus yang ditawarkan di pusat berkenaan.