BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) giat merangka satu program bantuan baru khusus bagi memperkasa penerima bantuan yang berkeupayaan (able bodied) dan mampu bekerja (able to work) tanpa menjejaskan bantuan terhadap golongan sasaran yang benar-benar memerlukan bantuan seperti warga emas dan orang kurang upaya.
Menterinya, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berkata, pihak kementerian melalui Majlis Kebangsaan Isu-isu Sosial (MKIS) sedang merebiu Sistem Jaringan Sosial yang ada di mana kerajaan telah berbelanja dari segi bantuan dan pencen, bantuan kebajikan bulanan, pencen umur tua, pencen hilang upaya dan lain-lain supaya lebih berdaya tahan.
“Ini termasuklah menyusun semula program dan projek berdasarkan kepada keperluan dan keupayaan jentera pelaksanaan serta mengambil kira kedudukan sumber dalam menangani isu orang kurang upaya di mana kesejahteraan kumpulan ini adalah sangat perlu dijaga misalnya bagaimana membolehkan orang-orang kurang upaya untuk hidup seperti orang lain dengan mempunyai pekerjaan, pergerakan yang tidak terbatas dan sebagainya,” katanya semasa berucap pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara hari ini.