Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Dalam usaha membendung gejala sosial dan meningkatkan kesedaran mengenai masalah disiplin dalam kalangan pelajar khususnya penggunaan tembakau atau vape, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan telah meneruskan Program Pendidikan Kesedaran Anti Tembakau dan Tatacara Tindakan Menangani Kesalahan Merokok Atau Vaping di Peringkat Sekolah di Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong, kelmarin.
Program berkenaan dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Pusat Promosi Kesihatam, Kementerian Kesihatan, pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, para pemimpin sekolah, guru kanan hal ehwal pelajar serta pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari sekolah-sekolah di bawah Kluster 2.
Program tersebut merupakan salah satu inisiatif Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kesedaran serta membendung gejala sosial yang melibatkan kesalahan disiplin pelajar berkaitan penggunaan rokok atau vape di persekitaran sekolah.
Acara diisikan dengan sesi taklimat daripada Bahagian Penguatkuasa Kesihatan, Jabatan Dasar dan Perancangan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Unit Kesejahteraan dan Perkembangan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.
Program itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang risiko kesihatan yang berpunca daripada penggunaan tembakau dan vape dengan memberikan pemahaman mengenai kesan negatif terhadap kesihatan dan prestasi akademik iaitu melalui pendekatan bimbingan serta pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti sekolah yang berbentuk pendidikan dan kesedaran.
Melalui program berkenaan, diharapkan pelajar, guru, ibu bapa dan seluruh warga sekolah serta masyarakat secara amnya dapat memahami peranan masing-masing dalam menangani isu disiplin di sekolah yang melibatkan kesalahan penggunaan tembakau dan vape serta tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam kesalahan tersebut.
Program yang sama telah diadakan bagi sekolah-sekolah di bawah Kluster 1 pada 15 April lalu di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) serta sekolah-sekolah di bawah Kluster 3 pada 17 April lalu di Pusat Tingkatan Enam Tutong.