Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 10 MAC – Seramai 40 orang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang kawasan 1 & 2 beserta ahli keluarga dan penduduk kampung kawasan tersebut telah menyertai Program Berbagi Rezeki – Pengagihan Bubur Lambuk Iftar.
Acara yang diungkayahkan oleh MPK RPN Bukit Beruang Kawasan 1 dan 2 dengan kerjasama Kumpulan Bertindak Bantuan Kemanusiaan Katakijau itu telah diadakan di rumah kediaman ketua kampung berkenaan baru- baru ini.
Acara dimulakan dengan aktiviti memucang-mucang telah berjaya menghasilkan sebanyak 350 bungkus bubur yang kemudiannya telah diagih-agihkan secara pandu lalu di hadapan rumah kediaman ketua kampung tersebut bermula jam 4 petang. Ia juga turut diagih-agihkan kepada peniaga di gerai Ramadan Bukit Beruang dan Masjid RPN Bukit Beruang.
Turut hadir, Yang Dipertua Kumpulan Bertindak Bantuan Kemanusian Katakhijau, Awang Rozan bin Haji Kaderi.
Sehubungan itu, Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 1 dan 2 menjelaskan acara tersebut dihasratkan menjadi sebuah acara yang dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara penduduk kampung dengan ahli-ahli MPK. Projek itu juga akan dijadikan sebagai program tahunan bagi memeriahkan lagi suasana di bulan Ramadan.