Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Seramai 19 pelajar dan tiga orang guru pengiring dari Sekolah St George kini berada di Yokohama, Jepun bagi menyertai Program Pertukaran Pelajar bersama sekolah Kanto Gakuin Mutsuura Junior-Senior High School yang berlangsung dari 13 hingga 20 Julai.
Program berkenaan merupakan penyertaan sulung pelajar-pelajar Sekolah St George dalam lawatan balas susulan daripada kunjungan pelajar Kanto Gakuin Mutsuura ke Brunei pada Ogos yang lalu.
Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antarabangsa antara kedua-dua institusi pendidikan serta menyemai persefahaman budaya dalam kalangan generasi muda.
Sepanjang berada di Jepun, para pelajar akan tinggal bersama keluarga angkat Jepun memberikan pengalaman autentik kehidupan seharian masyarakat tempatan dan dijangka memperkaya perspektif pelajar dan menyemai hubungan yang bermakna merentasi sempadan budaya.
Delegasi juga dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Tokyo selain menyertai lawatan ke beberapa lokasi bersejarah dan kebudayaan utama di Yokohama dan Tokyo.
Antara tempat menarik yang bakal dilawati termasuk Ibu Pejabat Nissan serta Muzium Industri Mitsubishi Minatomirai, yang akan memberikan pelajar pandangan mendalam mengenai kemajuan teknologi dan industri Jepun.
Antara objektif utama program berkenaan ialah memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai sistem pendidikan Jepun di samping meningkatkan kefahaman dan penghargaan terhadap budaya serta cara hidup masyarakat Jepun.
Program tersebut juga menggalakkan pertukaran budaya dan membentuk semangat keterbukaan, toleransi dan keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran yang berbeza sekali gus membentuk pelajar yang berfikiran global, berintegriti tinggi dan mampu menjadi duta kecil negara di persada antarabangsa.