Saturday, February 22, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program beri pendedahan khidmat masyarakat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    TEMBURONG, 21 FEB – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Usuluddin dan Kelab Fikrah mengungkayahkan Program Perkhemahan Ukhuwah Islamiyyah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41.

    Program perkhemahan itu diadakan selama dua hari bermula 21 hingga 22 Februari, bertempat di Kampung Labu Estate, Daerah Temburong.

    Majlis perasmian telah berlangsung pagi tadi di Masjid Kampung Labu Estate dan disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir.

    Turut hadir ialah Raes KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, jemaah dan penduduk kampung serta 35 orang peserta perkhemahan.Antara aktiviti yang diisikan semasa program perkhemahan itu termasuk ceramah khas Ahlan Ya Ramadan, bengkel amali agama bersama penduduk kampung dan lawatan ke Sekolah Rendah Kampung Labu Estate dan sumbangan barakah daripada warga KUPU SB.

    Ceramah khas Ahlan Ya Ramadan disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor KUPU SB, Dr Harapandi Dahri, di mana beliau menekankan kepentingan persediaan dan nilai-nilai spiritual dalam menghadapi bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba.

    Selain itu, dalam ceramahnya beliau menegaskan bulan Ramadan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh sekalian umat Islam dan peluang untuk melipat gandakan lagi amal ibadah kita kepada Allah SWT sama ada amalan-amalan fardu dan sunat.

    Program tersebut antara lain bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengalaman khidmat masyarakat kepada para peserta di samping sebagai salah satu medium dalam mendekati masyarakat kampung melalui aktiviti dakwah dan perkara berkebajikan.

    Yang Berhormat Haji Sulaiman bergambar ramai semasa majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN KUPU SB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda