PHUKET, THAILAND – Somsak Betlao menutup motor sangkut yang dipasang di perahu kayu dengan kain tarpal, menghabiskan satu hari lagi di pantai Patong Phuket di mana tidak ada seorang pun pelancong yang tidak memerlukan perkhidmatannya untuk membawa mereka ke pulau berhampiran.
Sejak sekatan pandemik Thailand ke atas perjalanan dikenakan pada awal 2020, pelancongan telah menjunam, dan ia amat terasa di pulau peranginan di luar pantai selatan negara, di mana hampir 95 peratus daripada ekonomi mempunyai kaitan dengan industri berkenaan.
Maka, meskipun jumlah koronavirus meningkat di kawasan lain negara, kerajaan sedang memperkenalkan satu program uji kaji dikenali sebagai ‘Phuket Sandbox’ untuk membuka semula pulau kepada pelawat yang sudah menerima vaksin lengkap.
Ia berharap dapat memulihkan pelancongan – satu sektor yang menyumbang kepada 20 peratus daripada ekonomi negara sebelum pandemik.
Daripada menjalani kua-rantin hotel yang diwajibkan di tempat lain di Thailand, pelawat ke Phuket boleh bersiar-siar di seluruh pulau, tetapi bukan mengunjungi kawasan lain negara selama 14 hari. Pewaham mempersoalkan sama ada pelawat rela menerima pelbagai sekatan termasuk ujian virus berulang dan aplikasi penjejak kontak mandatori, tetapi pegawai berharap tarikan pantai terkenal pulau – serta idea percutian pantai berikutan sekatan lama – sudah memadai untuk program tersebut dilaksanakan.
Untuk penduduk pulau seperti Somsak, terdapat banyak kerja yang perlu diusahakan selepas kepulangan pelancong.
Pernah sekali dia memperoleh lebih AS$100 sehari membawa mereka keluar dengan botnya, namun bulan ini dia berjaya membawa pulang AS$40 daripada seorang pelanggan dan terpaksa melakukan kerja rencam, menggadai barang kepunyaan keluarga dan menangkap ikan untuk makanan makan malam untuk isteri dan dua anaknya.
“Jika ia gagal, kami perlu mencuba untuk meneruskan kehidupan,” kata Somsak.
Dua bulan pertama 2020, sebelum sekatan perjalanan dikuatkuasakan, adalah yang terbaik untuk Phuket, dan pulau itu melihat lebih daripada tiga juta pelawat dalam lima bulan pertama tahun itu, termasuk lebih dua juta pelawat asing.
Untuk lima bulan pertama 2021, kurang setengah juta pelawat yang mengunjungi pulau dan itu pun kira-kira 5,000 merupakan pelancong domestik.
Di bawah pelan uji kaji tersebut, pelawat ke Phuket akan tertakluk kepada kebanyakan kawalan yang dihadapi oleh penduduk di seluruh negara, tetapi pergerakan mereka hanya terhad di pulau terbesar Thailand dan bukannya dikuarantin di bilik hotel selama 14 hari, di mana mereka boleh bersantai di pantai putih, meluncur ski di luar pantai dan menikmati makanan pada waktu malam di restoran.
“Untuk mereka yang terkurung dalam pangsapuri selama 16 bulan, idea untuk berkunjung ke Thailand di mana terdapat pantai dan anda adalah seorang tetamu biasa, memang anda dikuarantin di sini tetapi ia merupakan kuarantin di kawasan lebih daripada 500 kilometer persegi di mana terdapatnya taman negara, padang golf, anda boleh menyelam – ia benar-benar bukan kuarantin,” kata Anthony Lark, presiden Persatuan Hotel Phuket.
Telah pun timbul minat daripada beberapa pihak antarabangsa, dengan penerbangan pertama tiba dari Qatar, diikuti satu dari Israel dan seterusnya Singapura.
Namun, sesetengah hotel dan perniagaan lain telah memutuskan untuk menunggu dan melihat sama ada pelancong akan tiba sebelum pulau dibuka semula, dan timbulnya keraguan di Thailand pelancong akan datang.
Untuk melawat, pelancong asing mesti menunjukkan bukti dua vaksinasi, ujian negatif COVID-19 tidak lebih daripada 72 jam sebelum berlepas, dan bukti polisi insurans yang merangkumi rawatan untuk virus berjumlah sekurang-kurangnya AS$100,000. Sebaik sahaja berada di pulau, pelawat perlu mematuhi peraturan pemakaian penutup mulut dan hidung dan penjarakan sosial dan menjalani tiga ujian COVID-19 yang dibayar sendiri, kira-kira AS$300 pada keseluruhannya – dan menunjukkan keputusan negatif.
Mereka juga perlu datang dari negara yang dianggap berisiko ‘rendah’ atau ‘sede-rhana’ – senarai yang buat masa sekarang termasuk sebahagian besar Eropah, AS dan Kanada – dan terbang terus ke Phuket, walaupun terdapat rancangan untuk membenarkan pemindahan terkawal menerusi lapangan terbang Bangkok.
Selepas 14 hari, pelawat bebas bergerak di Thailand tanpa sekatan lain.
Sebagai persediaan, kira-kira 70 peratus daripada 450,000 penduduk pulau sudah menerima satu dos suntikan vaksin, dan industri hospitaliti melaporkan semua pekerja barisan depan di restoran, hotel dan tempat lain telah menerima vaksin lengkap.
Bar dan kelab masih ditutup, namun pelawat boleh mengunjungi restoran dan menonton wayang, sebaik sahaja ia beroperasi sekali lagi.
Sandbox merupakan sebahagian pelan Perdana Menteri Prayuth Chan-O-cha yang diumumkan awal bulan ini untuk membuka sepenuhnya Thailand dalam masa 120 hari.
Tinjauan mengatakan kira-kira 75 peratus daripada penduduk Thai mendapati program tersebut amat agresif, dan jumlah koronavirus dalam beberapa hari ini telah meningkat di Bangkok dan tempat lain, menekankan kebimbangan tatkala Phuket bakal dibuka semula.
Destinasi lain di Thailand sedang memerhati Phuket, dengan pelan mereka sendiri untuk membuka ekonomi pada akhir tahun atau lebih awal, namun dengan kuarantin bilik hotel. Destinasi pelancong popular seperti Bali juga sedang me-nimbang program sandbox ketika mereka memikirkan bila mereka dapat mengalu-alukan ketibaan pelawat luar.
Di negara, industri hotel berharap program sandbox akan menyediakan batu loncatan kepada destinasi lain di Thailand yang mana perbincangan awal membabitkan penginapan mandatori yang lebih pendek, namun untuk sekarang kua-rantin 14 hari dianggap oleh industri sebagai memakan masa percutian pelancong.
Pada masa sama, timbulnya kebimbangan penduduk Thai yang pulang akan mengambil jalan menerusi Phuket untuk mengambil kesempatan ke atas peraturan lebih longgar, justeru memberikan tekanan kepada hotel di Bangkok, yang telah bergantung pada kua-rantin mandatori dua minggu untuk kebanyakan pendapatan mereka semasa pandemik, kata Marisa Sukosol, presiden Persatuan Hotel Thai.
Kira-kira separuh daripada 16,000 hotel di Thailand masih ditutup dan kadar penginapan hanya mencecah 6 peratus pada Mei, kata beliau.
Walaupun terdapat sekatan dan ia mungkin mengambil masa untuk mengusahakan program pembukaan semula, perkara positif adalah pelawat akan dialu-alukan di Phuket yang belum dilawat selama beberapa dekad, disebabkan kekurangan orang sejak setahun lalu, kata Lark.
“Saya pernah terjumpa memerang di pantai dan saya tidak tahu terdapatnya memerang di sini. Saya terjumpa dolfin, kami menemui spesies burung yang pelbagai, terumbu karang yang tidak mempunyai bot di sekeli-lingnya – pulau tersebut kelihatan lebih baik dan indah. Harga bilik adalah kira-kira separuh dari 2019 dan anda tidak perlu membuat tempahan untuk mendapatkan satu tempat dalam restoran. Ia merupakan masa yang terbaik untuk datang,” katanya. – AP