Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Seramai 56 pelajar baharu pengambilan ke-12 Sesi Akademik 2025 bagi Program Dana Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD ALAF) telah diraikan pada Majlis Penganugerahan Dana Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Penyampaian Skim Bursari Penggalak BIBD Tahun Akademik 2025 yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’seni, ibu negara, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan penganugerahan itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD. Turut menyaksikan majlis tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Skim Bursari Penggalak (SBP) BIBD Tahun Akademik 2025 yang baharu diperkenalkan oleh BIBD pada tahun ini kepada 30 orang pelajar. Skim tersebut kesinambungan kepada Program BIBD ALAF yang melibatkan murid Tahun 6 dari Jabatan Sekolah-sekolah dan Jabatan Pengajian Islam.
Pada masa ini, enam Pelajar BIBD ALAF sedang melanjutkan pengajian mereka di luar negara di universiti-universiti terkemuka di Australia, Malaysia dan juga Mesir.
Antara mereka, Awang Saiful Azmi bin Saradin, yang telah menamatkan pengajian dengan Ijazah Syariah Islamiah dari Universiti Al Azhar di Kaherah.
Kejayaannya menunjukkan kemampuan program tersebut dalam membangunkan bakat dan melengkapkan pelajar dengan kaedah untuk berjaya di peringkat global.
Awang Junaidi dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan, “Skim ini adalah kesinambungan kepada Program BIBD ALAF yang melibatkan murid Tahun 6 terdiri daripada 26 murid di bawah Jabatan Sekolah-Sekolah dan empat murid di bawah Jabatan Pengajian Islam terlibat dalam projek rintis yang berjalan selama tiga tahun sehingga Tahun Akademik 2027.”
Menurut beliau, SBP dirangka khusus untuk membantu dan menggalakkan murid-murid Tahun 6 yang berkelayakan.
Melalui skim itu, murid-murid akan diberi peluang untuk memperbaiki prestasi pendidikan mereka melalui program intervensi pendidikan yang inklusif.
Beliau berharap para pelajar baharu yang akan memulakan perjalanan mereka dengan Program BIBD ALAF pada tahun 2025 dapat mencapai kejayaan cemerlang dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan BIBD untuk terus menambah baik Program BIBD ALAF bagi memastikan keberkesanan maksimum dan inklusif,” katanya.
Beliau juga berharap skim ini dapat menjadi pemangkin kepada sistem pendidikan negara, membuka peluang kepada lebih ramai murid untuk menyertai Program BIBD ALAF pada masa hadapan.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2014, Program BIBD ALAF memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar-pelajar cemerlang di seluruh negara.
Program berkenaan bukan sahaja sebuah program bantuan pembelajaran, tetapi juga satu inisiatif inklusif dan komprehensif yang menumpukan pada pembangunan kapasiti pelajar dengan dana zakat sebagai asasnya.
Program BIBD ALAF dibangunkan berdasarkan kepercayaan bahawa pendidikan mempunyai kuasa untuk memutuskan kitaran kemiskinan dan mengubah kehidupan.
Dengan memberikan peluang kepada pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan untuk cemerlang secara akademik dan peribadi, program itu bukan sahaja mengubah keadaan pelajar-pelajar tetapi juga mengangkat keluarga dan komuniti mereka.