BANDAR SERI BEGAWAN – Belia Masjid Ash-Shaliheen dengan kerjasama Takmir Masjid Ash-Shaliheen baru-baru ini telah mengadakan Program ‘Bicara Emas’ yang bertemakan ‘Jubli Emas’ pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Jabatan Perdana Menteri.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, kemudian diikuti dengan tilawah Al-Quran dari wakil Belia Masjid Ash-Shaliheen. Sejurus itu, ucapan alu-aluan disampaikan oleh, Pengerusi Progam, Awang Rahim bin Suany dan disusuli dengan acara pertandingan.
Pertandingan ‘Bicara Emas’ ini telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori ‘Open Mic’ (Pidato, Puisi dan Syair) dan juga Kategori Poster Kreatif. Seramai 12 orang peserta (solo dan berkumpulan) telah menyertai Kategori ‘Open Mic’, manakala seramai enam orang perserta menyertai Kategori Poster Kreatif.
Bagi kategori ‘Open Mic’, ianya telah dihakimi oleh empat juri jemputan iaitu Pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Zunainah binti Haji Gunong, Pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Muhammad Amirul Syazmie bin Ibrahim, Pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Yusli bin Haji Ashli dan Pemenang Pidato Sejarah Tahun 2015, Awang Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin. Kemudian bagi Kategori ‘Poster Kreatif’ pula ia telah dihakimi oleh Awang Azlin bin Haji Azlani dari Onestudio.bn, Dayang Noor ‘Izzati binti Haji Mohd Allinoor dari Zarabesque Art dan Dayangku Nur Liyana Hasyimah binti Pengiran Johari.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/A-10cm-rubie_031117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/E-15cm-rubie_031117.jpg)
Johan bagi Kategori ‘Open Mic’ telah dimenangi oleh Dayang Siti Julaiha binti Puasa dan Dayang Nurhani Basirah binti Haji Chipli. Naib johan pula dimenangi oleh Dayang Nur Haziratul Hafizah binti Tahiruddin dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Dayang Amirah Aniyah binti Aziz dan Dayang Sarah binti Haji Abd Mutalif. Manakala johan bagi Kategori Poster Kreatif pula dimenangi oleh Awang Aiman bin Rosli. Sementara naib johan dirangkul oleh Chong Kai Lung @ Muhammad Adam dan Awang Khairussu’ada bin Kamaludin mendapat tempat ketiga.
Program seumpamanya ini adalah julung-julung kalinya diadakan oleh Belia Masjid Ash-Shaliheen dengan kerjasama Takmir Masjid Ash-Shaliheen. Antara objektif pertandingan ini diadakan adalah untuk menzahirkan rasa cinta dan kesyukuran kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena 50 tahun Baginda menaiki takhta. Ia juga dapat membantu membina kreativiti dan kebolehan belia-belia dalam mengekspresi sesuatu hal yang dapat memberi manfaat dan impak kepada agama, bangsa dan negara.