Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Sejarah Negara Brunei Darussalam terus diperkukuh dan dimartabatkan melalui pengkajian dari pelbagai sudut, termasuk aspek linguistik, menerusi Program Bicara Sejarah anjuran Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Bahagian Pusat Pengkajian Borneo (penBORNEO), yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, PSB, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Program tahunan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 ini membawa tema Cerminan Dinamika Sejarah Melalui Pengkajian Linguistik Melayu, dengan memberi tumpuan kepada himpunan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Hari Kebangsaan dari tahun 1984 hingga 2025.
Objektif utama program berkenaan adalah untuk menyemarakkan kefahaman terhadap peranan dan nilai titah diraja sebagai sumber autoriti tertinggi dalam memperkasa sejarah, bahasa dan identiti negara, di samping menyuntik semangat cintakan tanah air khususnya dalam kalangan generasi muda.
Pembentangan kertas kerja telah disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Muhammad Najib bin Noorashid, bertajuk Suara Kedaulatan: Bahasa, Kuasa dan Identiti dalam Titah Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (1984–2025).
Antara yang dikupas dalam pembentangan tersebut adalah bagaimana fungsi bahasa sebagai medium komunikasi mampu membentuk kuasa dan identiti dalam sesebuah negara. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, titah-titah Baginda menjadi instrumen linguistik yang menzahirkan elemen kuasa, naratif serta strategi penyampaian yang memperkukuh kedudukan institusi beraja sebagai teras falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Kajian berkenaan turut mendapati penggunaan bahasa Melayu Brunei dalam titah memainkan peranan penting dalam usaha memelihara variasi bahasa kebangsaan serta membina legitimasi bahasa dalam wacana kenegaraan.
Program tersebut telah dimoderatorkan oleh Pegawai Arkib (SKIPPA), PSB, Pengiran Dr. Amal Bazilah binti Pengiran Haji Abdul Mobeen.
Turut hadir ialah Pengetua PSB, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong serta pengarah-pengarah, pegawai kanan, kakitangan institusi kerajaan dan bukan kerajaan, para pensyarah, mahasiswa dan mahasiswi dari institusi pengajian tinggi.
Majlis turut dimulakan dengan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Penyelidik dan Penterjemah Khusus (Bahasa Arab), Pengiran Ahmad Hasanuddin bin Pengiran Haji Tejudin.
Acara diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada pembentang serta sesi bergambar ramai sebagai kenang-kenangan.
Program tersebut diharap dapat terus menggalakkan lebih ramai pengkaji pelbagai bidang untuk mendalami dan menulis mengenai persejarahan negara secara ilmiah dan berwibawa.