Friday, February 28, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program bimbing pelajar pelihara kesejahteraan ketika berpuasa

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pagi tadi mengadakan Program Ahlan Ya Ramadan 1446H kepada pelajar-pelajar di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Kampung Katok.

    Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, KHEU, Hajah Mariana binti Haji Jamil.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, dan kemudiannya diteruskan dengan sesi bual bicara Persiapan Mental dan Fizikal: Menjalani Ramadan yang disampaikan oleh tiga orang panel jemputan terdiri daripada Pensyarah Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Widad binti Haji Abdul Aziz; Pegawai Promosi Kesihatan, Dr Mohd Akmal Ikrami bin Haji Mohd Azmi; dan Pegawai Perubatan dari Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr Muhammad Rieo Syafii bin Salor.

    Majlis turut disemarakkan dengan bacaan Zikir Maghfirah Wa Ar-Rahmah dan kemudiannya Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Turut hadir, warga kerja Jabatan Pengajian Islam, pengetua-pengetua, guru-guru dan serta para pelajar sekolah Arab.

    Program yang diadakan adalah bagi persediaan meraih keberkatan yang berlipat-ganda pada bulan Ramadan nanti melalui pelaksanaan ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain yang sangat dituntut seperti menunaikan sembahyang Sunat Tarawih, membaca Al-Quran dan berzikir.

    Program berkenaan juga bertujuan untuk memberi bimbingan kepada para pelajar agar sentiasa memelihara kesejahteraan diri dalam menuntut ilmu ketika melaksanakan ibadah puasa.

    Tiga orang panel jemputan semasa sesi bual bicara. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Suasana semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda