Tuesday, September 24, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program bincang isu-isu berbangkit

    BELAIT, 23 SEPT – Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa dan dasar kerajaan serta dalam masa yang sama menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Cawangan Daerah, telah mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Lumut II, Mukim Liang, Daerah Belait bertempat di Bilik Sungai Tali, Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC), Jalan Pantai Lumut, baru-baru ini.

    Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Dayang Saadiatul Aqilah binti Haji Jaman.

    Turut hadir menyampaikan maklumat kepada penduduk-penduduk kampung ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perkhidmatan Air dan DST Network Sdn Bhd (DSTN).

    Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan.

    Salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

    Ketua Kampung Lumut II, Haji Khairdon bin Haji Dahlan dalam ucapan balas antara lain menyambut baik program berkenaan yang setentunya dapat memberikan manfaat dan peluang keemasan kepada penduduk kampung berkenaan untuk mendengar maklumat-maklumat terkini yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan dalam mengungkayahkan penyelesaian tentang beberapa isu yang dikemukakan dan perlu diketahui oleh penduduk kampung.

    Selain itu, ia juga memberi peluang kepada penduduk-penduduk kampung untuk bertukar fikiran dan pandangan serta sebagai salah satu platform mencambah fikiran dalam usaha ke arah kemajuan dan kesejahteraan kampung dan juga Negara Brunei Darussalam.

    Program itu turut diisikan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan alam sekitar, keselamatan dan kecemasan, prasarana dan kemudahan awam serta hal-hal lain.

    Dayang Saadiatul Aqilah semasa memberikan penerangan pada program yang diadakan di Bilik Sungai Tali, LLRC, Jalan Pantai Lumut, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Antara yang hadir pada program tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda