Program Brunei Berselawat meriahkan Rabiulawal

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) Pusat Belia Bandar Seri Begawan (BSB) buat julung kalinya telah menganjurkan Program Brunei Berselawat yang mengandungi beberapa aktiviti secara maya (online) dan dibukakan kepada orang ramai.

Aktiviti-aktiviti turut dijayakan oleh pelbagai pihak iaitu perkumpulan dan organisasi belia di negara ini seperti Belia Masjid Omar Ali Saifuddien (Syababun Salam), Kumpulan Mawlid Az Zahrah, Kumpulan Mawlid Al Busyra Brunei, Kumpulan Meraih Berkah, TeachMeGuru, BattlePro Event, Bravo Production, Celebrate MERCY dan beberapa lagi penyertaan daripada organisasi tempatan.

Program meliputi beberapa aktiviti dan sedang berjalan pada masa ini, iaitu Majlis Selawat Subuh Jumaat yang berlangsung setiap Jumaat bermula 5:30 pagi; Majlis Selawat dan Doa Munajat, bagi menghidupkan malam-malam Rabiulawal dengan menggalakkan dan membawa orang ramai berselawat; Jom Selawat; Selawat Pledge, bagi menggalakkan orang ramai untuk istiqamah berselawat; dan Selawat: The Voice di mana kempen Alunan Selawat tersebut dijalankan melalui landasan media sosial bagi membuka penyertaan kepada orang ramai menghantarkan video selawat mereka.

Inisiatif yang turut disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan itu dilaksanakan bagi menyahut gagasan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Maulud Nabi Muhammad SAW Tahun 1443H/2021M untuk memperbanyakkan dan mengerapkan kemunculan rancangan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW khususnya sepanjang bulan Rabiulawal.

Di samping itu, ia juga merupakan sebagai wadah memanifestasikan rasa kecintaan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan melazimkan bacaan selawat-selawat selain turut dijadikan sebagai landasan pencetus inspirasi kepada masyarakat Islam di Brunei khususnya untuk menjadikan selawat sebagai amalan penting dalam rutin seharian.

Objektif utama program berkenaan adalah sebagai ikhtiar dan memanjatkan doa serta zikir untuk melepaskan atau membebaskan negara serta kitani daripada musibah koronavirus.

Salah satu aktiviti secara maya yang diadakan di bawah Program Brunei Berselawat itu.