Wednesday, February 12, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Cabaran Menabung 50 Sen dilancar

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Majlis Pelancaran Program Celik Kewangan Cabaran Menabung 50 Sen bagi Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan tahun 1446H bersamaan dengan 2025M sempurna dilancarkan di Musolla Al-Firdaus sekolah berkenaan, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Strategi, Perhubungan dan Celik Kewangan, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Dayangku Sri Joedianna binti Pengiran Haji Mohammed.

    Dalam ucapan, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Dayang Siti Anisah binti Moksin, selaku pengerusi majlis berkata, “Seperti tahun-tahun sebelumnya, Jabatan Bahasa Melayu dengan kerjasama dari jabatan lain, iaitu Jabatan MIB, Jabatan Pengajian Sosial dan Jabatan Matematik telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan program ini.

    “Alhamdulillah, pada tahun ini, tambahan dua lagi jabatan yang turut serta berganding bahu dalam merealisasikan program ini, iaitu Jabatan Bahasa Inggeris dan Jabatan Sains.

    Namun, Jabatan Bahasa Melayu terpilih untuk mempengerusikan program pada tahun ini yang kini telah memasuki tahun ke-5 sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 2020,” kata beliau.

    Para pelajar ketika mengikuti salah satu aktiviti pada Majlis Pelancaran Program Celik Kewangan Cabaran Menabung 50 Sen. Program itu bertujuan mendidik para pelajar mengamalkan sikap berjimat cermat sekali gus merancang kewangan bagi masa depan pelajar. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Program Celik Kewangan Cabaran Menabung 50 Sen bagi Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan tahun 1446H sempurna dilancarkan di Musolla Al-Firdaus sekolah berkenaan, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Pelajar mengambil bahagian dalam salah satu acara yang dianjurkan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Menurutnya lagi, Program Celik Kewangan ini merupakan inisiatif sekolah dalam memberikan kesedaran kepada seluruh warga sekolah khususnya para pelajar akan kepentingan pengurusan wang yang bijak dan berhemah. Seperti tahun-tahun sebelumnya, aktiviti cabaran menabung wang syiling 50 sen menjadi objektif utama dalam cabaran ini.

    Namun, pada tahun 2024, cabaran ditukar menjadi Jom Menabung Syiling, iaitu warga sekolah perlu mengumpul berapa sahaja wang syiling sepanjang tahun lepas.

    “Tetapi, pada tahun ini cabarannya kembali untuk mengumpul wang syiling 50 sen sahaja sebagai inti pati pengisian program ini. Insya-Allah, program ini akan berlangsung selama lebih kurang sembilan bulan bermula hari ini hingga 31 Oktober nanti,” tambahnya.

    Adapun pelaksanaan aktiviti menabung wang syiling 50 sen ini antara lain bertujuan mendidik para pelajar untuk mengamalkan sikap atau tabiat suka menabung, di samping mengamalkan sikap berjimat cermat sekali gus merancang kewangan sebagai salah satu prinsip utama dalam kehidupan demi kesejahteraan pelajar pada masa akan datang.

    Sebanyak 25 hadiah penghargaan akan diberikan kepada 25 orang pelajar yang berjaya membuat tabung paling kreatif.

    Selain itu, tiga hadiah penghargaan juga disediakan bagi tiga orang guru, manakala tiga hadiah penghargaan pula akan diberikan kepada tiga orang kakitangan.

    Dayang Siti Anisah juga berkata pihak sekolah juga sangat berbesar hati kerana ada ibu bapa daripada kalangan pelajar telah bermurah hati untuk menaja 25 lagi hadiah galakan kepada para pelajar.

    Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti taklimat oleh wakil BDCB dan seterusnya perasmian Program Celik Kewangan Cabaran Menabung 50 Sen.

    Majlis juga diserikan dengan tayangan video aktiviti semasa ‘Membuat Tabung Kreatif’ dan penyampaian hadiah kepada pemenang pemenang tabung kreatif guru-guru dan kakitangan oleh Dayangku Sri Joedianna.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda