Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program CPD asah kemahiran ukur tanah, geomatik

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Seramai 66 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Jabatan Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, ahli Institusi Geomatik Brunei (BIG) dan Juruukur Tanah Berlesen Negara Brunei Darussalam telah menyertai Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) di Dewan Indera Pahlawan, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan, Kementerian Pembangunan pada 30 Mac lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, di sini, hari ini, menyatakan program yang diadakan dengan kerjasama antara Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan BIG itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang atau ilmu yang dikongsikan.

    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Naib Presiden BIG, Awang Newas bin Ukoi dan ucapan perasmian oleh Pemangku Juruukur Agung Jabatan Ukur, Dayang Nor Zetty Akhtar binti Haji Abdul Hamid yang turut hadir selaku tetamu kehormat majlis itu.

    Program itu meliputi enam pembentangan kertas kerja, antaranya empat pembentangan daripada bahagian Land Survey & GIS Mapping, satu daripada bahagian Real Estate dan satu daripada bahagian Planners.

    Keempat-empat pembentangan daripada bahagian Land Survey & GIS Mapping adalah daripada Syarikat Juruukur Fadly iaitu Awang Zulfadli bin Mahadi dengan pembentangannya mengenai Usage of GPS in Meteorology, Awang Abdul Haniff bin Mohd Salleh menyampaikan tajuk Health, Safety and Environment (HSE) in Surveying, Dayang Syaakiirroh Sahari dengan tajuknya Charting Earth’s Story: The Profound Significance of Mapping in Geology dan Imagery & Remote Sensing: Real-time Information Revolution disampaikan oleh Dayang Afiqah Ahim.

    Seterusnya, Dickson Kwan Tai Wah dari Syarikat Wall Kingdom Property and Management membentangkan kertas kerjanya mengenai Loan to Value (LTV) dan tajuk terakhir Urban Design for a Traditional Urban Settlement: a Perspective for Kampong Ayer disampaikan oleh Awang Khairul Hazmi Zainin.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda