Oleh Nurdiyanah R.
TEMBURONG, 7 JULAI – Dalam usaha untuk melahirkan pendakwah muda yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia, Badan Sukarelawan Belia Daie di bawah naungan Urus Setia Program Keagamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah mengungkayahkan Akademi Dakwah 5.0 bagi sesi ketiga, baru-baru ini.
Pelaksanaan program bertempat di Pos Dakwah Kampung Selapon, Daerah Temburong itu dijalankan selama dua hari satu malam bermula pada 5 dan 6 Julai.
Antara pengisian utama pada hari terakhir program ialah Tazkirah Dhuha bertajuk Lima Waktu Bersama Syurgaku yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Haji Hazimin bin Haji Metali. Sesi tersebut menyentuh mengenai kepentingan pemantapan rohani dalam kalangan belia agar mereka bertindak sebagai ejen perubahan yang positif dalam masyarakat.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyokong usaha pembangunan sahsiah belia Islam di Daerah Temburong ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.
Acara juga diisikan dengan beberapa aktiviti berkebajikan antaranya bengkel solat, aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk kampung dan kawasan sekitarnya serta sesi qiamullail dan solat berjemaah. Aktiviti-aktiviti sedemikian berperanan dalam memupuk semangat ukhuwah dan penghayatan Islam secara menyeluruh dalam kalangan para peserta.


Program itu turut menekankan kepada peri mustahaknya berdakwah berpandukan ilmu dan akhlak sejajar dengan tema utama program akademi iaitu Berdakwah dengan Ilmu dan Iman, Berakhlak Mulia Jadi Daie Teladan.
Sesi kali ini merupakan kesinambungan kepada program berstruktur yang dianjurkan oleh Akademi Dakwah 5.0 dengan objektif jangka panjang untuk melahirkan pendakwah yang berdaya tahan, bersifat inklusif dan mampu menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk mualaf serta komuniti di luar bandar.
Dengan penglibatan aktif para belia dalam Akademi Dakwah itu adalah dihasrat agar nilai-nilai dakwah terus berkembang subur dan menjadi amalan budaya dalam kehidupan harian generasi muda Islam di negara ini.




