Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Pertubuhan WARGAMAS Brunei (WEB) akan menjalankan Program Tasmie untuk mendengarkan bacaan Al-Quran peserta-peserta Majlis Khatam Al-Quran (MKAQ) 75 kali khatam, seramai 1,103 orang secara berkumpulan (Halaqah) atau individu.
Ia bertujuan untuk menyemak, memperbaiki, membetulkan dan memperindah lagi bacaan Al-Quran, jelas Yang Dipertua WEB, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don semasa mesyuarat khas antara WEB dan Jabatan Pengajian Islam (JPI) yang diadakan di JPI, kelmarin. Jelasnya lagi, program itu akan mengutamakan pembacaan Al-Quran secara ‘Tartil’, ‘Tajwid’ ‘Tahsin’ dan ‘Talaqqi’ serta memastikan agenda berkenaan menuju ke arah penuan bakal ahli syurga yang istiqamah dalam beribadah.
Program berkenaan merupakan salah satu program yang termasuk dalam memorandum persefahaman (MoU) antara WEB dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) untuk menjayakan Program Kolaborasi Keugamaan (PKK) yang telah dirasmikan pada 22 April lalu.
Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar dalam mesyuarat tersebut menyambut baik rancangan Program Tasmie dan menjelaskan bahawa rancangan yang mulia dan bermanfaat khusus untuk warga emas itu akan dilaksanakan secara bekerjasama dan berperingkat-peringkat bagi jangka pendek dan jangka panjang. Setiausaha Agung WEB, Hajah Sinega binti Haji Swadi turut menjelaskan mengenai Rancangan Jadual Program Tasmie.
Menurut beliau, pihak urus setia WEB akan menyediakan borang catatan dan pemantauan bacaan peserta khatam, senarai peserta khatam untuk semua daerah dan halaqah peserta MKAQ 75 kali khatam. Haji Abu Bakar dan Haji Shamshol menjelaskan bahawa antara kelebihan dan kebaikan Program Tasmie adalah untuk dapat mengesan dan membetulkan kesilapan, kesalahan dan kelemahan bacaan Al-Quran peserta secara terus dan tepat mengenai ehwal tajwid, tanda baca dan makhraj huruf.
Di samping untuk memastikan peserta khatam tidak melakukan kesilapan berterusan semasa membaca Al-Quran, untuk memperkenalkan dengan hukum-hukum tajwid secara spontan, untuk dapat mengenal pasti kebolehan sebenar yang dimiliki oleh pembaca Al-Quran sekali gus dapat mendisiplinkan diri setiap pembaca dari segi bacaan yang tartil, betul, bertajwid dengan mengikut hukum yang telah ditetapkan.
