Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Dengan matlamat memberikan penjelasan komprehensif mengenai konsep hijrah ke arah kebaikan, Belia Mualaf As-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Program Hi-Class (Hidayah Class) 2025 Masihi Siri ke-4 bertempat di Dewan Persidangan, PDI, Kampung Pulaie, baru-baru ini.
Sesi berkenaan bukan sekadar menjadi platform pembelajaran semata-mata, malah turut diserikan dengan perbincangan terbuka dan aktiviti interaktif yang dirangka khusus bagi memudahkan pemahaman dalam kalangan peserta, terutamanya belia mualaf. Pendekatan yang berteraskan elemen ‘kebeliaan’ itu menjadikan pengisian sesi ini lebih segar, relevan dan berupaya menambat minat golongan belia selaras dengan jiwa serta keperluan mereka.
Program itu menekankan bahawa hijrah adalah satu proses, perjalanan bertahap dan konsisten, bukannya sesuatu yang berlaku secara serta-merta. Selain itu, program itu juga bertujuan memupuk semangat saling menyokong antara peserta sepanjang perjalanan hijrah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti sesi perkongsian yang disempurnakan oleh Penceramah Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Dayang Siti Hurul-Ain Diyana @ Vieana binti Haji Abdul Majid.
Melalui ceramah bertajuk Hijrah Itu Proses, Bukan Instan, ia telah mendapat maklum balas positif daripada para peserta berdasarkan sesi soal jawab yang memberi ruang kepada peserta untuk bertanya dan berdialog secara lebih mendalam.
Program diakhiri dengan bacaan Tasbih Kafarah dan Surah Al-‘Asr serta sesi bergambar ramai.