Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Seramai 35 penuntut dari pelbagai institut pengajian tinggi di Brunei menyertai program Huawei Technologies, Seeds For The Future yang akan berjalan selama lima hari bermula hari ini.
Program yang diadakan di Bangunan Tambahan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) itu telah dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies di Brunei, Kevin Zhang Jianwei.
Sepanjang program berkenaan, peserta diberi pendedahan mengenai pengkomputeran cloud, Internet of Things (IoT) Huawei, membina dan menata bentuk stesen mereka sendiri dan penyelesaian yang lain.
Disebabkan pandemik COVID-19, program kali ini dilaksanakan secara alam maya yang disokong oleh UBD di mana program disampaikan melalui bengkel teknologi dan rangkaian acara dari ibu pejabat Huawei, China.
Pada majlis itu, PYT Yu Hong turut berkongsi kejayaan awal yang telah dicapai dalam kerjasama ekonomi digital China-Brunei.
Selepas majlis perasmian, tetamu kehormat serta tetamu khas yang lain mengadakan lawatan ke makmal di mana program Seeds dilaksanakan.
Turut hadir menyaksikan perasmian program berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan, Kedutaan Republik Rakyat China di Brunei dan Huawei Technologies.
Penuntut yang menyertai program berkenaan adalah dari UBD, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kolej Antarabangsa Micronet, Kolej Perdagangan Laksamana dan Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan.

