Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku Katok hari ini menganjurkan Program Tahsinus Solat yang berlangsung di masjid berkenaan.
Program disertai oleh pegawai Skim Perkhidmatan Pegawai Agama (SkiPPA) dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah masjid serta jemaah Masjid Pengiran Muda Abdul Malik.
Fasilitator program tersebut ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid, Bahagian Bimbingan dan Latihan, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Haji Mohd Sahri bin Haji Sulaiman, selaku pemudah cara sepanjang sesi berlangsung.
Program itu bertujuan untuk memberi pendedahan, memperbetulkan bacaan, memperelok tata cara solat, serta menyemarakkan kecintaan terhadap ibadah solat agar setiap solat yang didirikan benar-benar menepati tuntutan syarak dan diterima oleh Allah SWT.
Ia juga untuk menambah kefahaman umat Islam terhadap hukum-hakam fiqh solat dan memperbaiki mutu pelaksanaannya daripada segi ilmu dan amal.
Antara objektif utama penganjuran program ini adalah menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar masjid memainkan peranan sebagai pusat ilmu dan para pegawainya menjadi pembimbing kepada jemaah dalam mempertingkatkan mutu ibadah, khususnya solat.
Di samping itu, program ini dihasratkan mengukuhkan keimanan dan meningkatkan ketakwaan para peserta melalui pengisian yang bermanfaat dan berlandaskan ajaran Islam.
Melalui program seumpama ini, diharapkan agar lebih ramai umat Islam dapat menguasai bacaan dan perlaksanaan solat dengan lebih sempurna, sekali gus menjadikan solat sebagai tiang agama yang benar-benar menjadi penghubung rohani antara hamba dan Tuhannya.



