Wednesday, November 6, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program dekati remaja

    Oleh Normazlina M.D

    Gambar oleh Infofoto

     

    TUTONG, 13 Ogos – Jabatan Penerangan melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, telah mengadakan Program Rakan Remaja Penerangan di Dewan Serba Guna Sekolah Menengah (SM) Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Tutong,
    kelmarin.

    Program yang dihadiri lebih 300 orang pelajar SM RIPAS terdiri daripada pelajar Tahun 7, 9 dan Tahun 10 ini merupakan persembahan khusus golongan remaja terutama bagi pelajar sekolah dalam menyebarluaskan maklumat semasa.

    Objektif program tersebut adalah untuk mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya mereka peka dengan perkembangan semasa, menanam semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial di kalangan remaja serta menjadikan mereka sebagai ejen penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kluster 4, Kementerian Pendidikan, Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim. Turut hadir ialah guru-guru dan kakitangan serta penuntut-penuntut SM RIPAS.

    Semasa persembahan nyanyian dan Choral Reading oleh para pelajar sekolah menengah tersebut.
    Semasa persembahan nyanyian dan Choral Reading oleh para pelajar sekolah menengah tersebut.

    Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik ‘Bendera Negara’. Acara diteruskan dengan tayangan video ‘Kibarkan Bendera Negara Dengan Megah’ dan taklimat bertajuk ‘Menghayati Bendera & Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Awang Hasanul Hidayat bin Haji Abu Bakar.

    Program juga diserikan dengan persembahan nyanyian, klip video ‘Kibarkan Bendera Negara Kitani’ dan animasi ‘Tatacara Mengibarkan Bendera’ dan juga  persembahan nyanyian dan Choral Reading oleh para pelajar sekolah menengah tersebut.

    Lawak jenaka daripada pelawak-pelawak undangan tanah air turut menyerikan majlis di samping kuiz di mana penyampaian hadiah kepada lima orang penuntut yang berjaya menjawab kuiz berkenaan disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

    Program tersebut diadakan bagi memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan terutama kepada golongan remaja ke arah pembentukkan minda dan moral positif serta untuk mendekati golongan belia dan remaja di sekolah-sekolah melalui seni hiburan yang terarah dan terpimpin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda