Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Dengan matlamat untuk mendidik dan melatih para atlet supaya menitik beratkan kerjasama sesama mereka sebagai satu pasukan terutama dalam satu pasukan kontinjen, seramai 54 orang atlet skim Jabatan Belia dan Sukan (JBS) menyertai Program Bersatu yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.
Program yang dianjurkan oleh JBS, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Unit Kejurulatihan dan Pembangunan Sukan dengan Tenaga Pembimbing dari Bahagian Belia disertai oleh atlet-atlet yang berumur di antara 15 hingga 25 tahun.
Pada sesi kali ini, peserta dikhususkan kepada atlet-atlet sukan mempertahankan diri iaitu sukan karate do, pencak silat, taekwondo, wushu dan atlet-atlet olahraga di mana program juga bermatlamat untuk mencetus semangat berpasukan dalam diri mereka.
Program itu memberikan penumpuan kepada pengisian aktiviti membina pasukan termasuk komunikasi, menyelesaikan masalah, silaturahim, kerja berpasukan, membuat keputusan dan pemikiran kreatif.
Selain itu program tersebut mempunyai objektif untuk membangunkan individu ke arah kecemerlangan diri, kerjaya dan organisasi, mampu mengimbangi jati diri, ketahanan fizikal, mental dan emosi untuk persediaan dalam perlawanan, memantapkan tahap kemahiran komunikasi dan melahirkan rasa hormat-menghormati sesama atlet, jurulatih dan pihak pengurusan, merapatkan hubungan silaturahim sesama atlet, jurulatih dan pihak pengurusan serta membentuk generasi muda yang sihat, cergas dan berdisiplin melalui penglibatan diri ke arah aktiviti bersukan.
Melalui program itu, diharap akan dapat melahirkan atlet yang mempunyai jati diri, ketahanan fizikal, mental dan emosi untuk persediaan dalam perlawanan serta secara tidak langsung sebagai medium melahirkan atlet yang cemerlang dan mampu mengharumkan nama negara.