Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Digital WARGAMAS dilancarkan

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Dalam usaha meningkatkan kesedaran celik digital, Pertubuhan WARGAMAS (PW) dengan sokongan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah melancarkan program Digital WARGAMAS pada majlis di Bangunan PGGMB di ibu negara, hari ini.
     
    Seramai 50 orang warga emas telah menghadiri pelancaran program berkenaan yang antara lain bertujuan untuk memberikan pengetahuan mengenai aspek pendigitalan yang berguna dalam kehidupan seharian seterusnya meningkatkan kesedaran tentang keselamatan siber, terutamanya dalam kalangan warga emas.
     
    Pelancaran program telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar. 
     
    Yang Di-Pertua PW, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don dalam ucapan alu-aluan antara lain menjelaskan, program itu bertujuan untuk membimbing masyarakat Brunei dalam memahami aspek pendigitalan dalam kehidupan seharian.
     
    “Program pertama ini akan mengetengahkan beberapa sesi perkongsian dan taklimat mengenai penggunaan Internet dengan selamat,” jelas beliau.
     
    Ir Haji Jailani semasa melancarkan program Digital WARGAMAS. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara jemputan yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Beliau turut mengongsikan, sejak 2019, kemampuan dan kemahiran ICT atau digital pimpinan dan ahli PW terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu mahir dan selesa, setengah mahir dan selesa tetapi belum sampai untuk melahirkan ikon Digital WARGAMAS dan kumpulan ketiga, belum selesa dan belum mahir.
     
    Menurutnya lagi, di sinilah penting dan relevannya AITI kepada warga emas untuk mengendalikan Digital WARGAMAS.
     
    “Pada masa ini Digital  WARGAMAS ini juga ada kaitan dengan usaha bagi mencapai keseimbangan sihat antara pemanfaatan teknologi digital dan aktiviti seharian.
     
    “Dengan adanya Digital WARGAMAS ini, ia akan membuka ruang untuk refleksi dan evaluasi diri terhadap cara berinteraksi dengan teknologi dan seterusnya berharap dapat meningkatkan fokus, produktiviti dan kesejahteraan secara menyeluruh,” jelas beliau.
     
    Semasa program itu, peserta berpeluang mendengarkan taklimat mengenai cara-cara melindungi diri dalam talian, cara mengenal pasti maklumat palsu, dan taklimat mengenai jenayah penipuan siber.
     
     
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda