Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah diiktiraf atas komitmennya terhadap kesejahteraan di tempat kerja dan komuniti, apabila memenangi Anugerah Perbankan-Brunei Health and Wellness Initiative of the Year pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Asia 2025 yang berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Hadir menerima anugerah berkenaan bagi pihak bank ialah Timbalan Ketua Pegawai Operasi BIBD, Lyndsay Spray.
Pengiktirafan itu menekankan impak inisiatif Duta Kesejahteraan BIBD, program perintis yang memperkasa pekerja BIBD dan rakan kongsi strategik untuk bertindak sebagai responden pertama dalam kecemasan kesihatan fizikal dan mental.
Dengan melengkapkan duta kesihatan dengan kemahiran sokongan psikologi, BIBD mengesahkan semula peranan institusi kewangan dalam mempelopori kesihatan holistik.
Pada majlis itu, Lyndsay Spray berkata, “BIBD percaya mempromosikan kesejahteraan fizikal dan mental merupakan kunci untuk mewujudkan tenaga kerja, yang bukan hanya gembira dan produktif tetapi juga mampu menyumbang kepada kemajuan Brunei yang bermakna.
“Inisiatif Duta Kesejahteraan ini mencerminkan komitmen kami terhadap kepercayaan ini, memastikan kakitangan kami dilengkapi dan bersedia menyokong rakan sekerja mereka dan komuniti yang lebih luas,” jelasnya.
Katanya lagi, “Sebagai rakan kongsi Brunei, kami berharap pendekatan ini memberikan inspirasi kepada organisasi lain untuk mengamalkan inisiatif yang serupa, bagi memupuk budaya kesejahteraan holistik di seluruh industri dan masyarakat pada umumnya”.
Sejak dilancarkan pada tahun 2022, Inisiatif Duta Kesejahteraan telah memainkan peranan penting di tempat kerja dan usaha kesihatan masyarakat.
Program itu turut mengukuhkan penglibatan pekerja, dengan lebih 1,000 pekerja mendapat manfaat daripada saringan kesihatan pada 2023, selain pengenalan inisiatif advokasi kesihatan mental yang menyediakan ruang yang selamat untuk sokongan psikologi.
Sebagai komitmen berterusan kepada kesihatan awam, Duta Kesejahteraan juga telah menganjurkan pemeriksaan kesihatan secara percuma di beberapa acara kebangsaan dan baru-baru ini di Karnival Mega BIBD, di mana pengunjung berpeluang mendapatkan konsultasi kesihatan.
Pengiktirafan tersebut terus mengukuhkan kedudukan bank sebagai pemimpin dalam kesejahteraan tempat kerja dan komuniti, membuktikan peranannya dalam memacu impak bermakna dan mampan.