Program e-learning giat dilaksanakan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Dalam keadaan negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah segera dengan memperkenalkan program e-learning untuk meneruskan pembelajaran para pelajar secara dalam talian.

Langkah tegas yang diambil oleh Kementerian Pendidikan itu telah disambut baik oleh guru dan ibu bapa yang menginginkan anak-anak mereka terus menerima pendidikan secara berterusan.

Dalam tinjauan media ke Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) hari ini, guru-guru dilihat giat melaksanakan pembelajaran dalam talian bersama pelajar mereka.

Pengetua SR YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi ketika ditemu bual berkongsi strategi yang dibuat untuk menjayakan program e-learning yang boleh dimanfaatkan oleh semua. Beliau menjelaskan, sebaik saja diumumkan mengenai program tersebut, pihak pengurusan dan guru-guru sekolah berkenaan telah membuat pelbagai persiapan sebelum tempoh permulaan e-learning yang bermula hari ini.

Menurutnya, SR YSHHB telah memulakan penilaian dalam talian pada 2018 di mana semua e-mel pelajar telah diaktifkan dan pada 2019, penilaian dalam talian berkenaan ditambah kepada mata pelajaran lain seperti Social Studies, Arabic dan Mandarin.

Hajah Mariam mengadakan video conferencing di antara guru dan pelajar.

Selain itu, jelasnya, banyak latihan perkembangan profesional guru-guru telah dibuat dengan menggunakan aplikasi yang ada di Microsoft seterusnya pada 2019 pihak sekolah telah menaik taraf sistem komputer di mana lebih banyak aplikasi yang terdapat dalam Microsoft Teams dapat digunakan.

Di samping itu, pada 2019, guru-guru dan pihak pengurusan sekolah juga menggunakan Microsoft Teams seperti pelan pembelajaran dimasukkan ke dalam teams yang digunakan secara dalam talian.

Selain itu, guru-guru juga telah berlatih bagaimana cara menggunakan online dan Alhamdulillah, sebelum sesi pembelajaran yang bermula hari ini, guru-guru telah membuat beberapa perbincangan dan mesyuarat untuk melihat dan mengetahui cara untuk mengaktifkan pembelajaran secara dalam talian yang teratur sama seperti waktu persekolahan biasa.

Ke arah memastikan pembelajaran dalam talian ini berjalan lancar di sekolah ini, tambahnya, dua jadual pembelajaran dibuat yang mana jadual pembelajaran untuk online live conference dan satu lagi untuk stay at home timetable yang mana dengan adanya jadual berkenaan, sistem pembelajaran akan lebih terarah.

“Dengan adanya jadual ini, ia membolehkan semua pelajar dalam seminggu itu mempunyai lesson live interaktif atas talian manakala selebihnya digunakan untuk stay at home timetable,” jelasnya.

Sementara itu, untuk stay at home timetable, guru-guru akan menggunakan team chat, video, memasukkan powerpoint slide dan mengajar melalui atas talian tapi tidak membuat persidangan video.

Hajah Mariam seterusnya berkongsi cabaran yang dihadapi dan beberapa soalan juga dikemukakan oleh ibu bapa sebelum sesi e-learning bermula.

Katanya, untuk memudahkan ibu bapa, guru-guru juga telah membuat rakaman pembelajaran untuk membolehkan pelajar-pelajar yang tidak dapat mengikuti pada waktu yang ditetapkan, boleh melayari pada bila-bila masa.

Manakala itu, bagi yang tidak dapat online langsung atas masalah-masalah tertentu, guru-guru masih berinteraksi dengan ibu bapa melalui WhatsApp dan memberikan home learning pack.

Bagi SR YSHHB jelasnya, untuk minggu pertama ini lebih menumpukan kepada mata pelajaran teras seperti Matematik, Bahasa Inggeris, Sains, Bahasa Melayu, Melayu Islam Beraja dan Ugama.

Beliau seterusnya menjelaskan, dengan bermulanya pembelajaran dalam talian ini, keterujaan ibu bapa jelas dilihat melalui interaksi bersama guru kelas anak-anak mereka melalui WhatsApp sebelum kelas bermula. Dengan adanya pembelajaran dalam talian ini, ibu bapa diharap akan terus memberi kerjasama dan pihak sekolah akan cuba menangani mana-mana masalah yang berbangkit dan akan memperbaikinya.

“Banyak cabaran yang dihadapi dalam pelbagai aspek untuk menjayakan e-learning di sekolah ini dan pihak pengurusan sekolah mengatur strategi dengan melihat kemahiran bagi setiap jabatan mata pelajaran sekolah berkenaan,” tambahnya.