Program EDPMMO ke-28 berakhir

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Setelah berjalan selama tiga bulan, Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) kali ke-28, 2019 berakhir dengan majlis penutup yang berlangsung di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan oleh UNISSA dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) itu ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Dr Haji Norarfan antara lain menyentuh tentang ciri-ciri kepimpinan dalam Islam yang perlu ada iaitu sifat taqwa, bermesyuarat, bersifat adil dan bersifat amanah.

Dengan mempraktikkan ciri-ciri kepimpinan Islam begini, tegas beliau, para pemimpin yang telah dipertanggung-jawabkan dalam satu-satu organisasi akan dapat melakasanakan amanat dan tugas yang diberikan dengan lebih cemerlang.

Beliau berharap semoga para peserta akan menjadi pemimpin yang cemerlang, berintegrasi dan mendukung nilai-nilai murni Islam dan akan dapat menerapkan serta mengaplikasikan ilmu yang diperolehi untuk sama-sama mengembleng tenaga dan minda bagi mencapai visi, matlamat dan objektif organisasi masing-masing bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

Pada majlis tersebut, para peserta telah menyaksikan tayangan video klip aktivti-aktiviti sepanjang program dijalankan dan seterusnya mendengarkan ucapan daripada wakil EDPMMO-28 UNISSA, Pengiran Haji Mashor bin Pengiran Haji Ibrahim.

EDPMMO kali ke-28 ini telah berjalan selama tiga bulan dengan kerjasama pihak UNISSA dan JPA yang buat julung kalinya telah diberikan tanggungjawab untuk menyediakan dan melaksanakan program ini selaras dengan Model Civil Service Leadership Pipeline 
(CSLP).

Antara objektif program adalah untuk membangunkan ciri-ciri kepimpinan dalam kalangan para peserta untuk membantu meningkatkan hala tuju organisasi di samping untuk membangunkan keupayaan untuk bekerja secara berpasukan dan berkumpulan, sekaligus menanamkan sifat saling menyokong di antara satu dengan yang lain.

Dr Haji Norarfan bergambar ramai bersama peserta EDPMMO ke-28. – Gambar serahan UNISSA