BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-20, Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Temburong dengan kerjasama Bahagian Latihan dan Pusat Sumber, Jabatan Belia dan Sukan telah mengadakan Eksplorasi Kayak Belia di Kompleks Sukan Air Serasa, kelmarin.
Dengan matlamat ‘Setiap Kayuhan Adalah Langkah Menuju Keyakinan Diri’, program ini menghimpunkan 17 orang belia dari keempat-empat daerah sebagai satu platform untuk mengasah kemahiran berkayak, memupuk semangat kerjasama dan meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan aktiviti di air.
Aktiviti merangkumi sesi taklimat keselamatan, latihan asas berkayak, teknik kawalan kayak dan penjelajahan laluan sejauh 14 kilometer yang berlepas dari Kompleks Sukan Air Serasa menuju ke tempat penurunan perahu Pangkalan Sibabau, Kampung Mentiri dan kembali semula ke Kompleks Sukan Air Serasa. Selain itu, peserta turut mengikuti aktiviti pembinaan pasukan yang menguji kecekapan, daya tahan fizikal serta kebersamaan.
Program diakhiri dengan majlis penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh Pemangku Ketua Cawangan Belia dan Sukan Daerah Temburong, Awang Mohammad Noramizul bin Haji Serbini.
Aktiviti itu diharap memberi impak positif kepada para belia dari aspek fizikal, mental dan sosial serta memberikan pendedahan awal terhadap aspek keselamatan air dan teknik asas berkayak yang boleh membentuk keberanian dan keyakinan diri selain memperkukuh semangat kerja berpasukan.



