Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program familiarization trip promosi destinasi pelancongan Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Sebanyak 16 agensi pelancongan dari beberapa buah negara termasuk Indonesia, Malaysia, Thailand dan Singapura menyertai program familiarization trip khusus untuk ejen pelancongan berpengalaman dalam pelancongan Islam yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), dengan kerjasama syarikat penerbangan, agensi pelancongan dan hotel-hotel tempatan.

    Program itu bertujuan untuk memperkenalkan warisan Islam yang kaya di Negara Brunei Darussalam, sekali gus mempromosikan negara ini sebagai destinasi utama bagi pelancong Islam. Sepanjang program, peserta juga diberi peluang menyertai Sambutan Maulidur Rasul dan menyaksikan pelbagai tradisi Islam tempatan yang masih diamalkan di negara ini.

    Inisiatif itu akan membolehkan ejen pelancongan dari luar negara merangka pakej pelancongan yang khusus untuk pengembara Muslim, dengan menawarkan pengalaman rohani yang mendalam serta unik di samping mempromosikan Brunei sebagai destinasi pelancongan Islam yang ideal.

    Negara Brunei Darussalam, yang terkenal dengan keamanan serta keindahan warisan Islamnya, mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh dunia untuk sama-sama memeriahkan sambutan keagamaan seperti Maulidur Rasul, yang mencerminkan budaya dan tradisi Islam di negara ini.

    Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui JKP, dalam usahanya untuk terus mengukuhkan kedudukan Brunei sebagai destinasi pelancongan Islam terulung, menyatakan bahawa program seumpama itu mampu memperluaskan lagi potensi Brunei dalam menarik lebih ramai pelancong Islam dari seluruh dunia.

    Antara mercu tanda Islam yang menjadi tarikan utama termasuklah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang terkenal dengan seni bina yang indah dan megah, Jame’ Asr Hassanil Bolkiah yang sinonim dengan suasana tenang serta damai, dan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), yang berfungsi sebagai pusat kebudayaan dan pameran artifak Islam yang berharga.

    BKISHHB turut menampilkan koleksi artifak peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, manuskrip-manuskrip Islam yang jarang ditemui serta seni Islam dari seluruh dunia. Salah satu tarikan utama di BKISHHB adalah sehelai rambut Nabi Muhammad SAW, yang memberikan pengalaman mendalam dan bermakna kepada pengunjung yang ingin mendalami sejarah serta kehidupan tokoh-tokoh Islam.

    Dengan peningkatan ketara dalam pasaran pelancongan Islam, Brunei dijangka terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan utama bagi pelancong Muslim di peringkat antarabangsa.

    ATAS & BAWAH: Antara ejen pelancongan yang menyertai familiarization trip sempat mengunjungi tempat-tempat menarik di negara ini. – GAMBAR SERAHAN JK
    GAMBAR SERAHAN JK

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda