Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Future Leaders Academy (FLY) telah menamatkan program empat bulannya dengan 40 pelajar paling cemerlang dari lima buah institusi pengajian tinggi utama di negara ini dipilih menghadiri acara Meet the Talents untuk menjalin rangkaian dengan 30 bakal majikan yang berpotensi pada acara makan malam di Anjung Saujana, baru-baru ini.
Program FLY telah dijalankan oleh Curious Mind di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Politeknik Brunei (PB) dengan tujuan untuk membantu membangunkan pemimpin masa depan yang yakin dan bertanggungjawab serta membantu pelajar mendapatkan pekerjaan pada masa depan dengan mendedahkan mereka kepada peluang yang akan menghubungkan mereka dengan pemimpin industri.
Lebih 250 pelajar menyertai program tersebut sejak Julai lalu, dengan lebih 20 orang penceramah terkemuka telah diketengahkan sebagai tetamu yang ditemu bual untuk berkongsi ilmu kebijaksanaan mereka mengenai kepimpinan.
Penceramah termasuk Pesuruh-jaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold; Penguasa Perubatan di Kementerian Pendidikan, Dr Noor Affizan; Penasihat Pertahanan Suruhanjaya Tinggi British di Brunei Darussalam, Kapten Jon Caple; Pengarah Eksekutif Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Dr Irene Yap dan pengurus-pengurus kanan daripada perwakilan penaja dan banyak lagi.
Majlis makan malam itu diserikan dengan perkongsian daripada pemenang pingat perak pertama Brunei dalam Sukan Asia, Basma Lachkar yang bercakap mengenai Flying Beyond Limits untuk memberikan inspirasi kepada penonton bersaing di peringkat tertinggi.
Ia diikuti oleh lima pelajar paling cemerlang dari setiap institusi berkenaan menyertai perbincangan panel bersama Jenny Malai Ali untuk mencerminkan pengajaran penting yang diambil daripada program FLY, dan memberikan pandangan tentang isu-isu yang diminati serta diambil berat oleh golongan muda di Brunei yang mereka ingin bentuk.
Turut hadir pada majlis makan malam tersebut ialah Pengarah Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Amirul bin Ibrahim, yang mengambil peluang untuk berhubung dengan pelajar dan mengongsikan pengalaman kepimpinannya.
Kurator program, Shaun Hoon memberikan penghormatan khas kepada usaha komuniti dalam menjayakan FLY, dan memberikan penghargaan kepada penaja platinum iaitu Perkhidmatan Alam Sekitar CIC dan Brunei LNG; penaja emas, imagine; penaja perak, Armada Properties dan BELTS serta penaja gangsa, Aewon, Archipelago Group, Golden Corporation dan Muara Maritime Services atas kemurahan hati dan sokongan mereka untuk membantu membangunkan pemimpin masa depan Brunei bersama-sama.
Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei adalah tempat simbolik yang sesuai untuk menutup program yang memberikan inspirasi kepada golongan muda untuk ‘terbang’ melangkaui batas mereka dengan pesawat-pesawat berlepas ke destinasi-destinasi tidak diketahui sementara majlis makan malam perpisahan berlangsung.


