Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Kementerian Pendidikan sedang giat melaksanakan Program Kemahiran dan Pendidikan STEAM iaitu Science, Technology, Engineering, Arts and Mathematics Education and Skills (SES) di semua peringkat pendidikan.
Sehubungan itu, sebuah buku garis panduan SES untuk sekolah rendah telah dihasilkan sebagai panduan bagi melaksanakan aktiviti STEAM menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan inkuiri. Penawaran mata pelajaran Teknologi, Kejuruteraan dan Seni sebagai salah satu mata pelajaran pilihan teras di peringkat menengah atas telah pun dilaksanakan pada awal tahun ini.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh semasa menyampaikan sembah alu-aluan pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-34 Tahun 2024 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), pagi tadi.
Yang Berhormat Datin menambah dalam usaha mendidik warga sekolah, khususnya para pelajar untuk lebih beretika, berhemah dan bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi dan dunia digital, Kementerian Pendidikan telah membentuk dan melancarkan Digital Citizenship Framework. Di peringkat pengajian tinggi pula, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menerbitkan buku yang bertajuk Policy and Guidelines on Generative Artificial Intelligence sebagai rujukan kepada institusi-institusi pendidikan lain.
Terdahulu, Yang Berhormat Datin merafakkan sembah kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menjunjung kasih kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana berkenan berangkat pada majlis tersebut yang mencerminkan keprihatinan Baginda Sultan terhadap kesejahteraan guru dan pada masa yang sama menjadi dorongan bagi para guru untuk terus berusaha dengan lebih gigih dan dedikasi dalam membentuk modal insan dan generasi penerus yang akan memperkasa perkembangan dan kemajuan negara.
Yang Berhormat Datin turut menyembahkan bahawa pada tahun ini merupakan tahun ketiga majlis sambutan Hari Guru menjulang tema ‘Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan’ di mana tema berkenaan membolehkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memfokuskan tenaga secara berkesinambungan ke arah pembaikan dan mentransformasikan pendidikan.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut menyembahkan bahawa perkembangan pelaksanaan pengintegrasian mata pelajaran agama dalam sistem pendidikan umum yang mana pembinaan kurikulum tetap bagi mata pelajaran pendidikan Islam sedang giat dilaksanakan bersama pakar-pakar dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Tambahnya, program-program perkembangan profesional juga diadakan secara berterusan bagi guru-guru bertujuan meningkatkan kemahiran pedagogi dan teknik-teknik pengajaran yang inovatif. Dari segi prasarana, Kementerian Pendidikan dan KHEU akan melaksanakan pemantauan dan penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan kemudahan yang disediakan menghasilkan persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif bagi para pelajar.
Yang Berhormat Datin juga menyembahkan bermula 1 Januari 2024, penguatkuasaan Akta Pendidikan Wajib telah mewajibkan semua rakyat Negara Brunei Darussalam yang berusia lima tahun memasuki alam persekolahan.
Ujar beliau, ianya bertujuan untuk mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak dari sudut keupayaan kognitif, aspek sosial dan emosi kanak-kanak dan kini seramai 6,092 pelajar yang berumur lima tahun telah mendaftar di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta.
“Alhamdulillah, penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam The OECD Programme for International Student Assessment (PISA) pada tahun 2022, yang keputusannya dikeluarkan pada hujung tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan yang sangat ketara bagi ketiga-tiga domain iaitu Reading, Mathematics dan Science berbanding PISA 2018. Peningkatan ini menunjukkan betapa para guru telah bekerja keras dalam meningkatkan pencapaian pelajar. Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka,” kata Yang Berhormat Datin.
Di samping itu, Kementerian Pendidikan juga memberikan penekanan kepada aspek-aspek lain dalam usaha membentuk individu cemerlang secara holistik.
“Alhamdulillah, tahun 2023 merupakan tahun pertama pelaksanaan pembelajaran mata pelajaran Al-Quran dengan menggunakan kurikulum tetap secara penuh bagi ketiga-tiga peringkat iaitu Tahun 9, 10 dan 11. Dalam tempoh tiga tahun pelaksanaannya terdapat peningkatan sebanyak 20 peratus dalam kalangan pelajar yang mencapai kategori Alif dan Ba, iaitu pelajar yang mampu membaca Al-Quran dengan fasih, lancar dan bertajwid,” jelasnya.
Menyentuh dalam bidang sukan, Yang Berhormat Datin menyembahkan Kementerian Pendidikan akan terus mengembangkan potensi dan bakat pelajar dengan memberikan mereka pendedahan melalui penyertaan dalam pertandingan-pertandingan di peringkat sekolah, kebangsaan dan antarabangsa.
Manakala dari segi teknologi, inovasi dan kemahiran, tambah beliau, penyertaan pelajar dalam Brunei ICT Awards (BICTA) 2024 telah mencatatkan jumlah tertinggi sejak ia diperkenalkan. Di peringkat serantau dan antarabangsa, para pelajar telah berjaya memenangi beberapa pertandingan.
“Di kesempatan ini, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada penerima-penerima Anugerah Hari Guru kali ke-34 bagi 2024. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada setiap insan yang bergelar guru di Negara Brunei Darussalam sama ada di sektor kerajaan dan swasta di semua peringkat pendidikan, atas sumbangan tenaga, bakti serta dedikasi mereka dalam mendidik anak bangsa. Bagi para guru yang telah bersara, jasa dan sumbangan mereka akan sentiasa dikenang. Terima kasih cikgu!,” ucap Yang Berhormat Datin.