BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS –Sebagai sebahagian daripada misi untuk melibatkan belia dan memupuk budaya khidmat dan penjagaan alam sekitar, Minggu Lautan Brunei (OWB) telah menganjurkan ceramah kepada pelajar Tahun 12 International Baccalaureate (IB) Diploma dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) sebagai sebahagian daripada program induksi CAS (Kreativiti, Aktiviti, Perkhidmatan), baru-baru ini.
Sesi satu jam itu memperkenalkan pelajar kepada peluang sukarelawan yang bermakna dalam komuniti se-tempat, dengan penekanan terhadap advokasi OWB untuk pemuliharaan marin. Dengan menghubungkan pembelajaran perkhidmatan dengan isu alam sekitar yang mendesak, program ini menggalakkan pelajar untuk meneroka bagaimana sumbangan peribadi mereka boleh menyokong kedua-dua inisiatif tempatan dan matlamat kemampanan global.
Diketuai oleh pasukan hijau Poni Divers, Donna Baltazar, sesi tersebut menekankan kepentingan lautan kepada kehidupan, ancaman yang sedang dihadapinya dan penyelesai-an praktikal yang tersedia termasuk Program Reef Ball yang membantu dalam pemulihan terumbu karang.
Selain itu, pelajar juga diperkenalkan dengan laluan lain untuk penglibatan aktif, daripada melibatkan diri dalam pembersihan pantai, gerai kempen maklumat, menyertai usaha penanaman karang sehinggalah melibatkan diri dalam aktiviti menyelam yang membantu membina penghargaan yang lebih mendalam terhadap lautan dan ekosistem marin.
Sementara itu, dalam usaha untuk menekankan peluang luas yang tersedia untuk pelajar menambah nilai melalui kreativiti, seni dan perkhidmatan, pelajar telah diperkenalkan kepada dua inisiatif belia terbaharu OWB, iaitu pertandingan video Ocean Voices dan Ocean Youth Grant.
Dilancarkan tahun ini, kedua-dua platform memperkasakan golongan muda untuk menggabungkan kreativiti, perkhidmatan dan advokasi untuk memberi impak yang ketara terhadap kelestarian lautan.
Melalui kerjasama dengan ISB ini, OWB menegaskan semula peranannya dalam menggalakkan tindakan yang dipacu oleh belia sebagai pemangkin kepada perubahan.
Dengan melibatkan belia melalui program CAS dan menawarkan mereka peluang berstruktur untuk berkhidmat, hubungan OWB dengan ISB sebagai rakan pendidikan terus memupuk generasi baharu jaguh lautan yang berdedikasi untuk menjaga warisan marin Brunei dan memberi inspirasi kepada masyarakat yang lebih luas untuk bertindak.



