Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Dalam usaha menarik penglibatan belia dalam sektor pertanian dan perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah melaksanakan beberapa program yang memfokuskan kepada belia dalam sektor berkenaan.
Program-program yang telah dilaksanakan termasuk program pendedahan belia-belia yang berpotensi untuk menceburi bidang pertanian berteknologi di mana sembilan siri program telah dilaksanakan yang melibatkan secara keseluruhan 166 orang belia, jelas Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam kenyataan semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Sementara itu, Program Projek Rintis, tambahnya, yang berbentuk percubaan dan berskala kecil menyaksikan 44 orang pengusaha belia telah ditawarkan tapak terlibat dalam perusahaan pertanian dan lima pengusaha belia terlibat dalam perusahaan perikanan. Manakala Program Penambahan Kawasan merupakan penawaran tapak tambahan kepada peladang-peladang yang berjaya mengusahakan sepenuhnya tapak yang telah ditawarkan.
Setakat ini, 16 orang belia daripada projek rintis telah ditawarkan tapak tambahan dalam industri pertanian dan seorang belia dalam industri perikanan.
Selain itu, Program Belia Berpadi iaitu program anjuran bersama Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga dilaksanakan untuk menggalakkan penglibatan belia dalam perusahaan penanaman padi.

Pada masa ini, seramai lima orang belia yang aktif berpadi di Kawasan Kemajuan Pertanian Wasan dengan tapak seluas 10 hektar, manakala seorang belia yang aktif berpadi di Kawasan Kemajuan Pertanian Bebuloh dengan tapak seluas lima hektar.
Projek Agripreneur Belia, jelas Yang Berhormat Dato merupakan inisiatif baharu dengan kerjasama KSSUP, institusi kewangan tempatan dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), bertujuan memberikan peluang kepada peladang muda untuk memulakan serta memastikan ketahanan perusahaan mereka melalui sokongan kewangan dan program itu dijangka dilancarkan pada pertengahan 2025.
Yang Berhormat Dato berkata selain belia, penglibatan anak kampung juga penting dalam meningkatkan pengeluaran sektor pertanian.
“Namun, pencapaian ladang kelompok atau Kemajuan Pertanian Luar Bandar (KPLB) masih kurang memberangsangkan, dengan sebahagian tanah yang diperuntukkan kepada anak kampung tidak dimanfaatkan,” tambah beliau.
Sehubungan itu, KSSUP kini sedang menilai semula inisiatif KPLB bagi memastikan ia mencapai matlamat yang disasarkan.