Wednesday, September 18, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Global Classroom beri peluang pengalaman pembelajaran

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Bagi memberikan peluang menimba pengalaman pembelajaran yang unik, pelajar-pelajar Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS), yang mengikuti kursus ijazah telah menghadiri Program Global Classroom yang mana program itu direka untuk menyelaraskan visi dan misi kolej berkenaan bagi menghasilkan graduan yang berdaya saing di peringkat global dan memupuk pemimpin inovatif dengan perspektif antarabangsa yang luas.

    Program Global Classroom Kuala Lumpur diadakan dari 8 hingga 23 September, sementara Program Global Classroom Brunei Darussalam pula berlangsung pada 9 hingga 11 September.

    Modul program itu menawarkan pelajar pengalaman pembelajaran di mana mereka akan membina pemahaman yang mendalam tentang amalan perniagaan global, di samping untuk meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah serta memupuk kesedaran silang budaya.

    Selain itu, pelajar juga akan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pembelajaran dinamik yang bertujuan untuk mengenal pasti trend perniagaan global, mengatasi cabaran, dan mengiktiraf peluang baharu dalam pelbagai industri.

    Di akhir program, para peserta akan membentangkan dapatan mereka melalui pembentangan berkumpulan yang komprehensif. Pembentangan itu akan memberikan tumpuan kepada pemahaman mereka tentang industri dinamik yang khusus, dan penerapan pengetahuan kepada situasi dunia nyata, serta menunjukkan keupayaan mereka untuk bertindak secara beretika dan profesional.

    Peluang menarik itu mengukuhkan komitmen Kolej IGS dalam mempersiapkan pelajar untuk berjaya dalam persekitaran perniagaan global yang semakin saling berkaitan.

    Rombongan pelajar Kolej IGS bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – GAMBAR SERAHAN IGS
    GAMBAR SERAHAN IGS

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda