Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Usaha terus dilaksanakan Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS Council) dalam meningkatkan kesedaran mengenai HIV kepada golongan belia khususnya di kalangan remaja dan pelajar sekolah.
Sehubungan dengan itu, BDAIDS Council kelmarin.melaksanakan Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (H.A.P.P.Y), iaitu sebuah projek yang diterajui oleh belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran termasuk meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual (STI) di kalangan remaja dan belia.
Program berkenaan dikendalikan di Sekolah Menengah Berakas (SMB) dan disertai seramai kira-kira 462 pelajar SMB.
Program yang juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kesedaran sekolah berkenaan, menyaksikan ceramah oleh Penyelaras Projek H.A.P.P.Y, Dayang Siti Kailene Jazlan Kashfi dengan sokongan sukarelawan dari BDAIDS Council.
Semasa ceramah berkenaan, Dayang Siti Kailene menekankan pentingnya untuk memahami mengenai HIV termasuk bagaimana virus itu merebak dan bagaimana untuk mencegahnya selain menghapuskan mitos dan salah tanggapan yang sering berlaku oleh golongan muda terhadap HIV.
Di samping itu, Dayang Siti Kailene juga menyuarakan kebimbangan tentang peningkatan kehamilan remaja, dan menerangkan kesannya kepada kehidupan golongan muda daripada segi fizikal, emosi dan sosial.
Beliau turut menekankan pentingnya untuk membuat keputusan bermaklumat dan mengetahui bagaimana untuk menetapkan sempadan yang sihat dalam hubungan untuk mencegah berlakunya kehamilan tidak dirancang serta melindungi kesihatan mereka.
Sesi itu juga mengetengahkan statistik tempatan berhubung dengan HIV di Brunei yang menunjukkan perlunya lebih banyak kesedaran dan pendidikan.
Majlis AIDS Brunei Darussalam berharap para pelajar akan membawa maklumat berharga dalam sesi berkenaan bagi membuat keputusan yang bijak serta berkongsi pengetahuan dengan rakan sebaya dan keluarga mereka.